Samun kedai komputer dengan kayu besbol, 7 direman 5 hari

Samun kedai komputer dengan kayu besbol, 7 direman 5 hari

Suspek berusia 30 hingga 36 tahun itu ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang tengah malam tadi.

Tangkap layar daripada rakaman video menunjukkan sekumpulan lelaki menyamun sebuah kedai komputer di Bandar Damai Perdana, Cheras pada Jumaat lalu.
PETALING JAYA:
Tujuh suspek direman lima hari kerana dipercayai terbabit dalam kejadian sekumpulan 15 lelaki bersenjatakan kayu besbol menyamun sebuah kedai komputer di Bandar Damai Perdana, Cheras minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Zaid Hassan berkata, suspek berusia 30 hingga 36 tahun itu diberkas dalam beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang tengah malam tadi.

Katanya, tiga kereta, sebuah van, lima telefon bimbit, dua komputer riba dan 36 mesin bitcoin turut disita dalam serbuan itu.

“Semua suspek yang ditahan mengaku mempunyai penglibatan dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah mahkamah membenarkan semua suspek direman lima hari mulai 30 Mac hingga 3 April ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

“Siasatan lanjut berkaitan kes sedang dijalankan,” katanya.

Jumaat lalu, sekumpulan 15 lelaki yang bersenjatakan kayu besbol dilaporkan memecah masuk sebuah premis peralatan komputer di Cheras dan melarikan peralatan kira-kira RM70,000.

Polis dilaporkan menerima laporan daripada pengawal keselamatan premis itu pada 9.35 pagi keesokannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.