Najib saran audit teknologi ke atas MySejahtera

Najib saran audit teknologi ke atas MySejahtera

Bekas Perdana Menteri itu berkata, audit itu bertujuan memastikan data pengguna tidak dibocorkan kepada pihak ketiga atau luar negara.

Najib Razak menyarankan komponen tertentu dalam MySejahtera dikeluarkan kerana ia tidak lagi relevan sebaik sahaja Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19 mulai 1 April ini.
PETALING JAYA:
Najib Razak mencadangkan sebuah syarikat swasta berpengalaman menjalankan audit teknologi ke atas aplikasi MySejahtera susulan kebimbangan berhubung penyalahgunaan data peribadi pengguna.

Bekas perdana menteri itu berkata, audit itu bertujuan memastikan data pengguna tidak dibocorkan kepada pihak ketiga atau luar negara memandangkan aplikasi itu mengandungi butiran peribadi hampir semua penduduk di negara ini.

“Sebab itu, satu audit teknologi oleh syarikat swasta berpengalaman yang dilantik kerajaan bersama ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) patut dijalankan untuk memastikan data pengguna tidak pernah dibocor kepada pihak ketiga ataupun ke luar negara seperti dijanjikan kerajaan,” katanya di Facebook.

Tonton video di sini.

Najib turut menyarankan komponen tertentu dalam MySejahtera dikeluarkan kerana ia tidak lagi relevan sebaik sahaja Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19 mulai 1 April ini.

“Sebagai contoh, bahagian terpenting, iaitu nak scan MySejahtera setiap kali masuk kedai atau lokasi, mungkin tidak lagi diperlukan memandangkan ‘contact tracing’ dah tidak lagi relevan selepas Covid-19 menjadi endemik.

“Ramai juga tak larat dengan kemungkinan nak terus scan MySejahtera banyak kali setiap hari selama tiga tahun lagi sehingga 2025.

“Pada pendapat saya, komponen MySJ Trace yang menggunakan teknologi ‘bluetooth’ untuk mengenal pasti siapa yang pernah berdekatan dengan mereka yang disahkan positif Covid-19 sudah memadai.”

Ahad lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kerajaan adalah penjaga data aplikasi itu sejak ia mula digunakan dan penyelenggaraan platform itu ialah satu-satunya masalah sekarang.

Katanya, kerajaan tidak pernah menjual aplikasi itu kepada mana-mana syarikat swasta dan ia masih hak milik kerajaan dengan Kementerian Kesihatan dilantik sebagai pemilik utama MySejahtera untuk pengurusan kesihatan awam negara.

Beliau turut memberi jaminan maklumat pengguna tidak akan dikongsi dengan agensi kerajaan atau swasta.

PAC sebelum ini mempersoalkan pengambilalihan aplikasi itu oleh MySJ Sdn Bhd daripada KPISoft Malaysia Sdn Bhd melalui proses rundingan terus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.