
Pada pemeriksaan semula oleh peguam Shafee Abdullah, Najib berkata, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghantar pegawai ke Riyadh untuk menyiasat perkara berkenaan.
Najib memberi keterangan dalam saman difailkan SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, terhadapnya bagi menuntut semula RM42 juta yang didakwa diselewengkan daripada dana syarikat.
Shafee: Adakah anda menyedari mengenai siasatan bagi menjelaskan sama ada putera (Arab Saudi) yang menghantar wang tersebut benar-benar wujud?
Najib: Saya memberi kebenaran bagi lawatan itu. Saya mahu pihak berkuasa melakukan siasatan yang perlu di Arab Saudi supaya mereka boleh kembali dan berkata: ‘Lihat, kami puas hati dengan apa yang kami temui.”
Disoal sama ada terdapat sebarang aduan dibangkitkan selepas pasukan itu pulang, beliau menjawab tiada, sambil menambah tiada sebarang bantahan timbul sehingga tamat tempoh perkhidmatannya sebagai perdana menteri, pada 2018.
Najib turut memberitahu mahkamah, beliau mengenali Raja Salman bin Abdulaziz, di mana mereka pertama kali bertemu semasa tempoh Salman memegang jawatan sebagai Gabenor Riyadh, dan kemudiannya pada 2017 selepas baginda menaiki takhta.
Beliau berkata, walaupun kontroversi mengenai dana tersebut timbul seawal 2015, Raja Salman tidak pernah membangkitkan perkara itu dalam pertemuan mereka, termasuk pada majlis di mana mereka bertemu.
Shafee: Ambil kira kontroversi tersebut, adakah Raja Salman pernah membangkitkan perkara itu dengan anda?
Najib: Tidak sama sekali.
Shafee: Sekarang, bagaimanakah anda menggambarkan hubungan anda semasa pertemuan (pada 2017) dengan Raja Salman?
Najib: Cukup mesra dan saya boleh katakan bersifat peribadi kerana baginda tidak membantah apabila saya mengambil swafoto bersama — dan memuat naiknya — di dalam kereta, dan ramai orang terutamanya di Arab Saudi terkejut kerana mereka tidak pernah melihat seorang raja bergambar dalam swafoto.
Bekas presiden Umno itu kemudian memberi keterangan bahawa satu kenyataan telah dibuat Menteri Luar Arab Saudi ketika itu, Adel al-Jubeir, yang mengesahkan dana itu merupakan sumbangan derma daripada kerajaan Arab Saudi.
Pada pemeriksaan balas semalam, Najib mengakui RM42 juta dimasukkan dalam akaun peribadinya bukanlah derma Arab Saudi berdasarkan ‘pengetahuan terkemudian’ yang diperolehnya, walaupun pada awalnya beliau percaya sebaliknya.
Najib, 72, dipenjarakan sejak 23 Ogos 2022 susulan sabitan kes penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh pemenjaraan kepada separuh, menjadi enam tahun dan mengurangkan denda kepada RM50 juta.
Pada 26 Dis tahun lepas, Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.387 bilion susulan sabitan dalam kes 1MDB, dengan tempoh penjara tersebut akan bermula serta-merta selepas tamat tempoh penjara sedia ada.
Perbicaraan di hadapan Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 9 Feb.