2 lelaki ‘ditahan’ sindiket Kemboja, keluarga rayu kerajaan bantu

2 lelaki ‘ditahan’ sindiket Kemboja, keluarga rayu kerajaan bantu

Dua lelaki Malaysia berusia 18 dan 24 tahun itu diperdaya ke Kemboja dengan tawaran kerja palsu sebagai 'telemarketer'.

Michael Chong (tengah) mendakwa lebih 50 belia Malaysia ditahan secara paksa di Kemboja.
KUALA LUMPUR:
Ibu bapa dua lelaki yang mendakwa ditahan oleh sebuah sindiket penipuan dalam talian Kemboja merayu pihak berkuasa menyelamatkan anak mereka.

Dua lelaki warga Malaysia yang berusia 18 dan 24 tahun itu diperdaya ke Kemboja dengan tawaran kerja palsu sebagai “telemarketer”. Kini mereka ditahan dan dipaksa menipu orang melalui internet, dakwa ibu bapa dua lelaki terbabit.

Seorang daripada ibu bapa berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Wong berkata, anaknya menghubungi beliau beberapa bulan lalu untuk memaklumkan dia berada di Kemboja.

“Dia beritahu ditawarkan pekerjaan bergaji tinggi sebagai ‘telemarketer’ dan dibawa beberapa individu dari Pulau Pinang ke Kemboja menggunakan laluan haram,” katanya dalam sidang media di Wisma MCA hari ini.

“Dia sangat takut kerana bangunan itu dikunci dan pintunya dikawal lelaki bersenjata api.”

Wong berkata, anaknya kini dipaksa menipu rakyat Malaysia dalam talian.

Katanya, beliau bimbang dengan keselamatan anaknya yang khuatir dirinya akan “dijual” kepada sindiket lain jika gagal menjalankan tugasnya.

Seorang lagi ibu bapa, yang hanya mahu dikenali sebagai Ng berkata, anaknya dibawa ke Kemboja tiga bulan lalu melalui laluan haram.

“Dia hubungi saya dan beritahu tugasnya ialah menipu orang melalui panggilan telefon. Mereka akan memukulnya jika dia tidak melakukannya.”

Ng berkata, beliau sudah membuat laporan polis dan menghantar surat kepada Menteri Luar, Saifuddin Abdullah kira-kira dua minggu lalu, tetapi belum menerima sebarang jawapan daripada Wisma Putra.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Michael Chong mendakwa lebih 50 belia Malaysia ditahan secara paksa di Kemboja dan dipaksa menipu orang.

Katanya, beliau menerima panggilan daripada lebih 10 belia di Kemboja sejak dua bulan lalu yang merayu beliau membantu mereka.

“Ramai ibu bapa tidak tahu anak mereka berada di Kemboja. Mangsa merayu tidak memberitahu ibu bapa masing-masing kerana tidak mahu mereka tahu.”

Jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi berkata, pihaknya dengan kerjasama kedutaan besar Malaysia di negara terbabit sedang memantau rapi situasi itu dan dalam proses mendapatkan maklumat lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.