
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Hazani Ghazali berkata, semua suspek dalam lingkungan 20-an hingga 50-an yang ditahan pada 26 Feb hingga 22 Mac lalu terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki warga Sri Lanka di sekitar Selangor, Pahang, Sabah dan ibu negara.
Dalam serbuan pertama dan kedua di Klang serta Kajang, pihaknya merampas 983,160 batang rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan lebih RM1.3 juta dan seorang lelaki tempatan turut ditahan.
“Seorang lelaki tempatan ditahan dalam serbuan ketiga di Subang Jaya, di sini dan polis merampas tiga ekor monyet marmoset dan 70 ekor burung pelbagai jenis di kedai milik suspek berdekatan rumahnya dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM260,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya dalam kenyataan.
Susulan penahanan itu, Hazani berkata, pihaknya menahan seorang wanita tempatan dan merampas dua ekor monyet jenis blue monkey dan tiga ekor kucing batu di Sri Kembangan, dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM240,000 serta kes disiasat mengikut seksyen sama.
Dalam serbuan kelima, katanya, polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Sri Lanka di Kepong dan merampas minuman keras jenis bir sebanyak 10,973.6 liter serta minuman keras jenis “liquor” sebanyak 1,306.88 liter yang dianggarkan bernilai RM465,845.
“Turut dirampas sebuah kenderaan dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM736,658 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Dalam serbuan keenam, pihaknya merampas 800,000 batang rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.5 juta di Puchong dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran rokok, selain polis turut merampas 569,880 batang rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM936,742.40 serta sebuah kenderaan di Temerloh, Pahang.
Katanya, serbuan terakhir di Semporna, Sabah membabitkan penahanan tujuh lelaki tempatan kerana disyaki terlibat penyeludupan minyak petrol dan polis turut merampas 60,200 liter minyak petrol, dua kapal tangki minyak, sebuah kapal tunda dan sebuah lori tangki minyak yang dianggarkan bernilai RM5.5 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam perkembangan sama, Hazani berkata, berdasarkan statistik keberhasilan pada Januari hingga 22 Mac lalu, pihaknya melakukan 16 serbuan dan menahan 26 individu dengan nilai rampasan melebihi RM20 juta.