Siasatan SPRM tiada kaitan dengan kami, kata MRT Corp

Siasatan SPRM tiada kaitan dengan kami, kata MRT Corp

SPRM menahan lima individu semalam berhubung kes rasuah membabitkan projek pembinaan MRT bernilai lebih RM650 juta.

MRT Corp berkata, ia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa, jika diminta berbuat demikian.
PETALING JAYA:
Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjauhkan diri daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dakwaan rasuah oleh dua syarikat kejuruteraan dikaitkan dengan projek transit aliran massa (MRT).

“Siasatan itu tiada kaitan dengan MRT Corp atau mana-mana kakitangannya,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, ia sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, jika diminta berbuat demikian.

“MRT Corp ingin mengingatkan semua rakan kongsi perniagaan, kontraktor dan subkontraktor bahawa ia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk rasuah dalam ekosistem projeknya.

“Tindakan sewajarnya, seperti penamatan kontrak dan/atau penyenaraian hitam, akan diambil terhadap mana-mana syarikat yang didapati terlibat dalam rasuah.”

Kenyataan ini menyusul laporan media semalam bahawa dua bekas pengarah dan tiga pengarah syarikat kejuruteraan ditahan SPRM untuk membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek MRT bernilai lebih RM650 juta.

Sumber berkata, dua bekas pengarah itu, termasuk seorang yang bergelar Datuk dipercayai menerima rasuah kira-kira RM27 juta daripada sebuah syarikat kejuruteraan lain sebagai balasan melantik syarikat itu sebagai perunding membabitkan projek berkenaan pada 2017.

Mahkamah Majistret Putrajaya mengeluarkan perintah reman enam hari terhadap tiga pengarah itu, termasuk seorang wanita, manakala dua bekas pengarah terbabit tidak direman atas faktor kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.