Perjelas nasib 80% tahanan SOSMA yang tidak didakwa, Hamzah diberitahu

Perjelas nasib 80% tahanan SOSMA yang tidak didakwa, Hamzah diberitahu

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir membangkitkan perkara itu apabila hanya 648 individu didakwa berbanding 3,717 yang ditahan di bawah SOSMA

Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir berkata, banyak lagi undang-undang yang boleh digunakan untuk mendakwa individu, bukan semata-mata melalui SOSMA.
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat pembangkang menggesa Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin menjelaskan apakah nasib 80% individu yang ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan gagal didakwa kerana ketiadaan bukti yang cukup.

Akmal Nasir (PH-Johor Bahru) membangkitkan perkara itu dengan berkata, hanya 648 individu sahaja didakwa berbanding 3,717 yang ditahan bawah SOSMA.

“Menteri sebut statistik, seramai 3,717 pernah kena tahan bawah SOSMA, yang dituduh (seramai) 126 telah didakwa bawah Kanun Keseksaan, 522 dituduh bawah kesalahan penyeludupan migran.

“Kalau banding antara dua, hanya 648 didakwa daripada 3,717 orang atau hanya 17.43% yang didakwa akibat penahanan bawah SOSMA, maksudnya 80% lagi gagal didakwa. Apa jadi (kepada) mereka yang tak didakwa, adakah mereka dizalimi sebab tak jumpa kes untuk didakwa?,” soalnya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Hamzah untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA kepada lima tahun lagi.

Akmal berkata, banyak lagi undang-undang yang boleh digunakan untuk mendakwa individu, bukan semata-mata melalui SOSMA yang didakwa zalim.

“Bercakap soal keselamatan…ya kalau berlaku kes melibatkan keselamatan, banyak undang-undang lain boleh diguna pakai, tapi mereka ini tahanan SOSMA ditahan tanpa bicara dan daripada statistik menteri bentang itu hanya 17.43% sahaja ada pendakwaan selebihnya kerajaan gagal nak dakwa mereka,” katanya.

Terdahulu, ketika membentangkan usul itu Hamzah berkata, pelanjutan tempoh selama lima tahun lagi bermula 31 Julai depan akan membolehkan pihak berkuasa terus menggunakan peruntukan kuasa khas mengikut subseksyen berkenaan.

“Peruntukan Subseksyen 4(5) SOSMA perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan bagi memberi ruang masa yang cukup kepada polis melengkapkan siasatan kes kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.