
Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Shukri Abdullah dalam kenyataan malam ini berkata kerja-kerja penyelenggaraan itu telah dijalankan secara berfasa bermula 19 Mac lalu.
Katanya memo dalaman mengenai perkara itu telah diedarkan kepada semua formasi polis pada 15 Mac lalu, agar persediaan diaturkan bagi sistem manual digunakan di mana-mana formasi yang mengalami kesukaran mengakses IPRS dalam tempoh penyelenggaraan tersebut.
“Proses menaik taraf pangkalan data ini adalah seperti mana yang telah ditetapkan di dalam kontrak penyelenggaraan sistem berkenaan, demi penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Pihak syarikat yang dilantik sedang menjalankan konfigurasi dan troubleshooting bagi isu-isu teknikal yang berbangkit ekoran proses migrasi data yang besar,” katanya dalam kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengesanan sebaran mesej di media sosial yang mendakwa, IPRS bagi menerima laporan-laporan polis mengalami gangguan teknikal untuk diakses di seluruh negara.
Shukri berkata sebarang kesukaran mengakses IPRS yang dialami, merupakan gangguan sementara dan keseluruhan proses penyenggaraan dijangka akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, Bukit Aman mempunyai mekanisme proses kerja secara manual bagi memastikan kesukaran mengakses IPRS tidak menjejaskan penerimaan laporan polis.
“Orang ramai yang perlu membuat laporan polis masih boleh berurusan seperti biasa di mana-mana kaunter balai polis,” katanya.