
Ismail berkata, pasukan petugas khas bagi siasatan yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu sedang mengambil tindakan termasuk memanggil saksi yang terlibat.
“Saya bagi janji kepada perwakilan sekiranya ada kesalahan, saya akan ambil tindakan pada Tommy Thomas,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) hari ini.
Beliau memberitahu, Kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat dakwaan dalam buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” tulisan Thomas.
“Laporan interim akan dibentang bulan depan. Saya memberi janji kepada perwakilan, jika ada kesalahan dikesan, saya akan pasti ambil tindakan terhadap Tommy Thomas,” katanya.
Pasukan itu ditubuhkan bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan yang ditulis dalam buku berkenaan termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman, pendakwaan terpilih dan sebagainya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dipetik sebagai berkata, polis turut membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan itu.
Katanya, pasukan itu diketuai Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak dan bekas Peguam Besar Negeri Sarawak, Fong Joo Chung serta lima yang lain.