Penuntut kolej tak mengaku salah memandu mabuk sebabkan kematian warga emas

Penuntut kolej tak mengaku salah memandu mabuk sebabkan kematian warga emas

Lo Yen Hue didakwa memandu kenderaan jenis Toyota Sienta di bawah pengaruh alkohol sebanyak 184mg dalam 100ml darah.

Penuntut kolej, Lo Yen Hue, 24, dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang penuntut sebuah kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja subkontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabtu lalu.

Mengikut pertuduhan, Lo Yen Hue, 24, didakwa memandu kenderaan jenis Toyota Sienta di bawah pengaruh alkohol sebanyak 184mg dalam 100ml darah melebihi 134mg alkohol daripada had ditetapkan, iaitu 50mg alkohol dalam 100ml kandungan darah.

Tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan hingga menyebabkan kematian Yap Kwee Chee, 74, di Jalan Kuching menghala ke Batu Caves di sini, pada 3.15 pagi 12 Mac lepas.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000 serta hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh disabitkan kesalahan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam KA Ramu yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Majistret Amanina Mohamad Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei untuk sebutan kes.

Pada 12 Mac lalu, media melaporkan pekerja subkontraktor DBKL yang sedang melakukan kerja memotong pokok, maut dirempuh pemandu mabuk menyebabkan mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.