
“Kalau menteri kita tak ‘perform’ (tunjuk prestasi baik), saya rasa parti tak akan mencapai keputusan yang membanggakan pada PRN kerana prestasi kita pada PRN juga bersandarkan kejayaan dan prestasi kita dalam kerajaan,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
BN menang besar pada PRN Melaka dan Johor sehingga dapat membentuk kerajaan negeri.
Terdahulu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dalam ucapan perasmian perhimpunan sayap Umno berkata, prestasi wakil Umno dalam kerajaan ketika ini tidak meyakinkan.
Beliau mengakui, wakil parti dalam kerajaan telah cuba melakukan sehabis baik, namun hasilnya tidak menyerlah.
Mengulas perkara itu, Hishammuddin berkata, sebagai wakil Umno dalam kerajaan beliau turut mempersoalkan prestasi dirinya seperti dimaksudkan Mohamad.
“Apa bezanya Menteri Pertahanan (saya) sekarang dengan prestasi Menteri-menteri Pertahanan sebelum saya yang kebetulan, presiden parti sendiri dan Najib Razak? Jadi apa bezanya, orang tuduh menteri-menteri Umno tak perform?” soalnya.
Bekas Naib Presiden Umno itu turut berkata, kenyataan sedemikian tidak seharusnya dilontarkan, sebaliknya semua pihak perlu menyambut seruan Presiden Ahmad Zahid Hamidi agar kerajaan dan parti bekerjasama rapat bagi memastikan kelangsungan perjuangan.