2 maut, 3 lagi cedera, kereta terbabas

2 maut, 3 lagi cedera, kereta terbabas

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu hilang kawalan dan terbabas lalu terlanggar tiang lampu, sebelum terbabas ke seberang jalan.

Dua mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba dan seorang mangsa yang maut di tempat kejadian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. (Gambar Facebook Bomba Perak)
IPOH:
Dua maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ketika melalui Jalan Slim Lama di Tanjung Malim malam tadi.

Kemalangan itu mengakibatkan Muhamad Faris Amran, 20, yang tercampak keluar dari kereta berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Syed Umar Syazrim Syed Hashim, 22, disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River.

Ketua Polis Daerah Muallim Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, dua lagi penumpang berusia 20 dan 23 tahun mengalami kecederaan ringan sementara pemandu berumur 22 tahun yang mengalami luka di bahagian muka, kaki dan tangan kini menerima rawatan lanjut di hospital sama.

Beliau berkata, polis menerima maklumat mengenai kemalangan melibatkan kereta Proton Wira Aeroback dinaiki lima lelaki menghala ke Behrang itu pada kira-kira pukul 12.10 tengah malam, dan semasa kejadian, jalan di lokasi kemalangan agak gelap, di samping keadaannya basah selepas hujan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu lelaki itu hilang kawalan dan terbabas lalu terlanggar tiang lampu sebelum terbabas ke seberang jalan di arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan pada pukul 12.22 tengah malam.

“Pasukan bomba membuat kerja mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dan seorang mangsa yang maut di tempat kejadian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.