
Timbalan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata polis akan memantau secara aktif sebarang aktiviti tidak bertanggungjawab ketika orang ramai teruja dengan pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP semalam.
“Kami akan memantau dan mengingatkan orang ramai (mengenai penipuan) melalui media sosial setiap hari,” katanya dalam sidang media.
Razarudin berkata, sebelum ini masih ada yang menjadi mangsa penipuan walaupun polis sudah memberi nasihat mengenai modus operandi penipuan berkenan.
“Hampir setiap hari juga polis mengeluarkan kenyataan mengenai penipuan ini, namun masih ada segelintir individu yang terpedaya dengan iklan sebegitu,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri berkata kerajaan membuat keputusan sukar untuk membenarkan orang ramai menggunakan simpanan persaraan mereka kerana sebilangan rakyat masih terjejas dari segi kewangan akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkali-kali berkata kerajaan tidak akan membenarkan pengeluaran semula selepas ia dilakukan bawah tiga skim, i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra pada 2020 dan 2021.