Solat jemaah tanpa penjarakan di Wilayah Persekutuan mulai 1 Apr

Solat jemaah tanpa penjarakan di Wilayah Persekutuan mulai 1 Apr

Jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri selain kehadiran di masjid dan surau tanpa had umur serta sudah menerima vaksin.

Aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau boleh dilaksanakan pada waktu bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Ajib Ismail.
PETALING JAYA:
Masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibenar mengadakan solat berjemaah tanpa penjarakan atau saf dirapatkan bermula 1 April, kata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Pengarahnya, Ajib Ismail berkata, pihaknya juga menetapkan supaya jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri.

Beliau berkata, kehadiran ke masjid dan surau pula dibenarkan tanpa had umur dan mereka yang telah menerima suntikan vaksinasi Covid-19.

“Selain itu, masjid dan surau dibenarkan melaksanakan solat sunat Tarawih 20 rakaat pada bulan Ramadan. Qiamullail pula dibenarkan diadakan di masjid dan surau mulai tengah malam,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata, majlis berbuka puasa, moreh dan sahur dibenarkan diadakan di masjid dan surau, namun makanan digalakkan disediakan secara berbungkus.

“Kami juga membenarkan aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau. Ia boleh dilaksanakan pada mana-mana waktu yang bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil,” katanya.

Ajib berkata, ketetapan terkini solat berjemaah itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Ia juga dibuat selaras langkah kerajaan berkaitan fasa peralihan ke endemik yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini. Semua kebenaran itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dan terus bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera dibendung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.