Mahkamah keluar perintah larang siar nama, gambar anak Loh

Mahkamah keluar perintah larang siar nama, gambar anak Loh

Perintah larangan itu juga membabitkan nama Muslim digunakanan anak-anak itu, susulan penukaran agama dilakukan bapa kandung mereka.

Loh Siew Hong baru-baru ini disatukan semula dengan tiga anaknya susulan keputusan Mahkamah Tinggi.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah melarang penyiaran nama dan gambar anak Loh Siew Hong.

Perintah larangan itu juga membabitkan nama Islam yang digunakan oleh anak-anak itu susulan penukaran agama yang dilakukan oleh bapa kandung mereka pada 2020.

Mahkamah membenarkan permohonan larangan itu yang dibuat peguam Hanif Khatri Abdulla mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika pendengaran permohonan untuk mencelah dalam petisyen penceraian antara Loh dan bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran Muniandy, menerusi persidangan video, hari ini.

Peguam Loh tidak membantah perintah itu.

MAIPs memohon untuk mencelah bagi menukar terma penjagaan anak-anak yang diberikan kepada Loh dalam petisyen penceraian itu bagi membolehkan tiga anaknya, iaitu pasangan kembar perempuan berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun, mendapat akses kepada bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan Islam.

Majlis itu berkata, memandangkan keislaman tiga anak Loh didaftarkan di Perlis, maka ia bertanggungjawab memastikan “mereka mendapat akses ke atas segala hak dan kepentingan sebagai saudara baharu beragama Islam”.

Pesuruhjaya Kehakiman Evrol Mariette Peters menetapkan 28 April untuk mendengar permohonan pencelahan dikemukakan MAIPs.

Srimurugan Alagan dan Shamsher Singh Thind mewakili Loh, manakala Zainul Rijal Abu Bakar, Aidil Khalid dan Danial Farhan mewakili MAIPs.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.