
Sekiranya PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat, katanya, Kedah tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Yang nak jadi awal, yang nak jadi salah tu, pasaipa (apa sebab), pasaipa nak kalut-kalut, tentulah ada ‘udang di sebalik mi’,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata, Kedah tidak akan membubarkan DUN sehinggalah penggalnya tamat.
“Sampai habis penggal, sangat relevan kita ada masa nak buat kerja. Tak kalut dengan pilihan raya, kita tak payah serabut tunggu ‘term’ (penggal) habis..bubarlah,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian memetik Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sebagai berkata, DUN Selangor tidak akan dibubarkan dalam tempoh terdekat, sekiranya PRU15 diadakan.
“Kita (sudah) sepakat adalah lebih baik dan lebih berkesan jika pentadbiran (negeri) ini diselesaikan sehingga habis penggal, maknanya sehingga bulan empat atau lima tahun hadapan,” katanya hari ini.
Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mendedahkan enam negeri, termasuk Negeri Sembilan tidak akan membubarkan DUN mereka sehingga penggalnya berakhir.
Katanya, perkara itu ada dibincangkan bersama lima negeri lain, ketika pemimpin negeri terbabit menghadiri mesyuarat Majlis Raja-raja baru-baru ini.