Selepas Onn Hafiz dilantik MB, perwakilan Johor tak ambil bahagian perbahasan PAU

Selepas Onn Hafiz dilantik MB, perwakilan Johor tak ambil bahagian perbahasan PAU

Hasni Mohammad dikatakan mahu menghalang usaha segelintir perwakilan Umno Johor yang menolak pelantikan Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar.

Ketua Umno Johor Hasni Mohammad, telah meminta agar ahli Umno tidak memanjangkan isu pelantikan Menteri Besar baharu itu.
JOHOR BAHRU:
Perwakilan Johor dijangka tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno, bermula esok, di Kuala Lumpur, susulan pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu.

Difahamkan dalam pertemuan bersama pemimpin-pemimpin Umno Johor termasuk ketua-ketua bahagian di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana malam tadi, Ketua Umno Johor Hasni Mohammad, telah meminta agar ahli Umno tidak memanjangkan isu berkenaan.

“Sebaliknya, beliau (Hasni) berjiwa besar. Beliau juga tidak mahu perkara ini dibesar-besarkan,” kata sumber kepada Bernama ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut sumber itu lagi, Hasni juga mahu menghalang usaha segelintir perwakilan Umno Johor yang mahu menolak pelantikan Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Difahamkan, perjumpaan di Saujana semalam, bermula seawal pukul 9 malam dan berakhir kira-kira pukul 3 pagi, dengan mereka yang hadir menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Hasni.

Onn Hafiz, 43, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-19 di Istana Bukit Serene petang ini, mengambil alih jawatan itu daripada Hasni.

Sebelum ini, Hasni telah dinamakan sebagai calon tunggal Menteri Besar oleh Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi, ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Pada PRN Sabtu lalu, BN memperoleh mandat besar iaitu 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sekali gus mempunyai kedudukan selesa membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, selepas tiga hari kemenangan BN dirai, tiada petunjuk jelas sama ada Hasni akan kembali menerajui kerajaan negeri, sehingga muncul khabar angin mengaitkan nama Onn Hafiz dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi dengan jawatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.