Kertas Putih Kesihatan dibentang di Parlimen Nov ini, kata KJ

Kertas Putih Kesihatan dibentang di Parlimen Nov ini, kata KJ

Ia ke arah mengukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh agar perkhidmatan kesihatan lebih saksama, berkualiti tinggi dan mudah diakses dengan kos berpatutan untuk jangka panjang.

Khairy Jamaluddin berkata, Kertas Putih Kesihatan adalah dokumen rasmi kerajaan yang dijangka mendapat sokongan bipartisan Ahli Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Kertas Putih Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan reformasi sistem kesihatan akan dibentangkan pada November ini, kata Khairy Jamaluddin.

Bercakap di Dewan Rakyat, Menteri Kesihatan itu berkata, Kertas Putih berkenaan adalah dokumen rasmi kerajaan yang dijangka mendapat sokongan bipartisan Ahli Parlimen.

Katanya, dokumen itu akan menggariskan status semasa, jurang dan kekangan dihadapi ke arah mengukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh agar perkhidmatan kesihatan lebih saksama, berkualiti tinggi dan mudah diakses dengan kos berpatutan untuk jangka panjang.

“Pengukuhan ini penting bagi memenuhi keperluan kesihatan rakyat selari dengan status Malaysia sekarang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi.

“… dan untuk masa depan, semua usaha ini akan melibatkan pendekatan ‘whole of government’ dan ‘ whole of society’ bagi menggembleng tindakan pelbagai pihak dalam memastikan kesihatan rakyat lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) meminta kerajaan menyatakan skop Kertas Putih Kesihatan yang sedang disediakan dan bilakah ia akan dibentangkan di Parlimen.

Pada 4 Feb, Khairy berkata, kerajaan memerlukan reformasi sistem kesihatan yang kalis masa depan berikutan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk kanser yang terus meningkat saban tahun.

KKM melaporkan peningkatan kes kanser sebanyak 11% (115,238 kes) bagi tempoh 2012-2016 berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007-2011.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.