Adakah ‘surat luar biasa bodoh’ mengenai waris Sultan Sulu dilulus Kabinet, soal Najib

Adakah ‘surat luar biasa bodoh’ mengenai waris Sultan Sulu dilulus Kabinet, soal Najib

Bekas Perdana Menteri itu juga hairan mengapa keturunan Sultan Sulu hanya menyaman kerajaan Malaysia pada 2018 sedangkan bayaran dihentikan sejak 2013.

Najib Razak berkata beliau hairan mengapa keturunan Sultan Sulu hanya menyaman kerajaan Malaysia pada 2018 sedangkan bayaran dihentikan sejak 2013. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Najib Razak hari ini menuntut penjelasan Pakatan Harapan (PH) sama ada surat yang dihantar bekas Peguam Negara Tommy Thomas kepada peguam berpangkalan di London yang mewakili keturunan Sultan Sulu pada 2019 diluluskan oleh Jemaah Menteri ketika itu.

Dalam surat pada 2019 itu yang dilihat FMT, Thomas melampirkan salinan sebenar penghakiman Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara Charles F Macaskie pada 1939 dan berkata, Malaysia tidak mempertikaikan identiti individu tersebut dan hak mereka untuk dibayar.

Beliau juga kesal kerana bayaran dihentikan pada 2013 selepas insiden pencerobohan Lahad Datu, selain menambah bahawa Malaysia “kini bersedia dan sanggup” membayar semua tunggakan anak guam Paul Cohen dari 2013 hingga 2019 berjumlah RM48,300.

Najib berkata, surat “luar biasa bodoh” itu digunakan oleh peguam United Kingdom (UK) pada minggu lepas untuk menyangkal pendirian Peguam Negara hari ini bahawa identiti waris terbabit diragui.

“Sekiranya kamu kata Malaysia sudah mengaku salah dan kesal, adakah kami masih berpeluang untuk menang kes?

“Sebab ini isu berat, saya nak tanya pemimpin kerajaan dahulu termasuk Mahathir (Mohamad), (Lim) Guan Eng dan Muhyiddin (Yassin), adakah surat yang luar biasa bodoh ini diluluskan Jemaah Menteri masa itu ataupun ianya hanya surat daripada Tommy sebagai Peguam Negara sahaja,” soalnya di Facebook.

Pada 10 Mac, seorang peguam berpangkalan di London yang mewakili keturunan Sultan Sulu menyangkal dakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa identiti waris terbabit diragui.

Memetik surat daripada Thomas kepada seorang lagi peguam, Paul Cohen pada 2019, Elisabeth Mason berkata, komunikasi surat menyurat Thomas menunjukkan bahawa AGC dan Kementerian Luar mengetahui dan secara rasmi mengiktiraf pihak yang menuntut dan hak mereka “selama bertahun-tahun”.

Dalam pada itu, Najib juga hairan mengapa keturunan Sultan Sulu hanya menyaman kerajaan Malaysia pada 2018 sedangkan bayaran dihentikan sejak 2013.

“Lagipun, keturunan Sulu sanggup upah peguam UK untuk saman kita untuk pampasan berpuluh bilion ringgit di negara Sepanyol.

“Jadi, adakah Tommy dan kerajaan PH fikir bahawa keturunan Sulu akan hentikan kes setelah dibayar pampasan RM48,300 sahaja?,” soalnya.

Beliau turut khuatir “kebodohan” pentadbiran kerajaan PH ketika itu akan melenyapkan kedaulatan Sabah kepada waris Sultan Sulu atau menyebabkan negara perlu membayar pampasan RM63 bilion.

“Akibatnya, selain kerajaan PH tidak menghantar wakil ke kes mahkamah Sepanyol, surat peguam negara tahun 2019 ini yang dijadikan bukti dan alasan utama oleh peguam keturunan Sulu bagi menang kes ini sebab surat ini disifatkan sebagai pengakuan bahawa negara telah ‘salah’ dan kita ‘kesal’,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.