
Kejadian yang berlaku di Bandar Utama, Damansara dirakam menerusi kamera litar tertutup sebelum tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia lingkungan 30-an itu yang mendakwa dipukul rakan serumahnya.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang sedang memasak di dapur didatangi rakan serumahnya yang mendakwa terganggu.
“Wanita terbabit kemudian menampar mangsa dan tindakan itu dirakam CCTV di dapur,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Menurutnya, rakan serumah mangsa sudah dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja,” katanya.