
Mereka memfailkan izin untuk memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Oktober lalu, bagi membatalkan arahan kerajaan untuk melaksanakan program berkenaan berdasarkan pekeliling yang dihantar kepada mereka.
Sembilan belas pemohon dari universiti itu menamakan Pendaftar Universiti Malaya; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Khairul Adib Abd Rahman; Kementerian Kesihatan dan kerajaan sebagai responden.
Sementara itu, lima guru turut memfailkan permohonan serupa dengan menamakan Menteri Pendidikan dan Menteri Kesihatan serta kementerian mereka, selain Khairul dan kerajaan sebagai responden.
Dalam permohonan dan afidavit yang dilihat oleh FMT, pemohon berkata, sebagai penjawat awam mereka mempunyai kebebasan sama ada mahu menyertai program berkenaan atau tidak.
Menurut mereka, tindakan kerajaan memaksa mereka mengambil vaksin melanggar hak asasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mereka turut memohon perintah oleh pentadbiran UM atau Kementerian Pendidikan untuk menangguhkan pekeliling berkenaan sehingga permohonan semakan kehakiman itu diselesaikan.
Selain itu, mereka turut memohon perintah supaya kerajaan mendedahkan butiran semua ujian klinikal ke atas vaksin yang digunakan selain kesan sampingan susulan program imunisasi berkenaan.
Kesemua 24 pemohon berpendirian bahawa keputusan kerajaan untuk menyuntik vaksin ke badan mereka adalah tidak sah, tidak rasional dan tidak berperlembagaan.
FMT difahamkan, Peguam Negara Idrus Harun membantah permohonan mereka itu atas alasan ia bersifat remeh dan menyusahkan.
Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 5 April untuk mendengar dua permohonan itu serentak.