Mungkin salah lapor Hadi, Muhyiddin ulas isu kesedaran politik Islam di Johor

Mungkin salah lapor Hadi, Muhyiddin ulas isu kesedaran politik Islam di Johor

Ia susulan kenyataan Presiden PAS mendakwa kurangnya kesedaran politik Islam di Johor sebelum ini menjadi punca parti itu tidak mampu menawan hati penduduk negeri itu.

Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, beliau tidak pasti apa yang dimaksudkan dalam kenyataan Abdul Hadi Awang.
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin percaya kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkaitan kurangnya kesedaran politik Islam di Johor mungkin disalah lapor.

Presiden Bersatu itu bagaimanapun berkata, beliau tidak pasti apakah yang dimaksudkan dalam kenyataan Hadi itu yang juga merupakan pemimpin parti komponen PN.

“Dia (Hadi) rakan saya dalam PN, mungkin dia disalah lapor agaknya, pasal dia pernah sebutkan di Kota Tinggi bersama-sama dengan saya bahawa Johor adalah istimewa.

“Rakyat Johor yang Muslim sebahagian besarnya terdidik di bawah satu sistem pendidikan agama, (iaitu) sekolah agama negeri Johor,” katanya ketika ditemui pemberita di Muar.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Hadi mendakwa kurangnya kesedaran politik Islam di Johor sebelum ini menjadi punca parti itu tidak mampu menawan hati penduduk negeri itu.

Menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor hujung minggu ini, Hadi dilaporkan berkata, kesedaran politik Islam di negeri itu kurang berbanding di Kelantan dan Terengganu, di mana parti itu bertapak kukuh.

Beliau berkata, sungguhpun PAS membuka cawangan parti di Johor lebih awal berbanding negeri lain, ia gagal mencapai matlamat diharapkan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, setiap orang Melayu di Johor mempunyai asas agama dan boleh membuat penilaian terhadap baik buruk, hukum-hakam dan syurga neraka.

“Saya fikir mungkin dimaksudkan (itu), tapi kalau disalahtafsirkan, bagi saya itu yang saya maksudkan, saya fikir Johor, orang faham tak boleh dibandingkan (dengan) negeri-negeri lain.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.