
Ahli perniagaan, Ab Aziz Abdullah, 44; kakaknya Anita Abdullah, 47; dan suami Anita, Muhammad Semail, 43; Abu Yazid Mohd, 38; serta Mohd Hariza Mohd Yusof, 34; masing-masing ahli perniagaan mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan dua hakim.
Di hadapan Hakim Suzana Hussin, Aziz, sebagai Pengarah Sepakat Hidayah Sdn Bhd didakwa atas 41 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM8.98 juta, antaranya memiliki wang tunai dalam akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) lima anak lelakinya serta menggunakan wang syarikat itu untuk membeli beberapa kenderaan mewah, termasuk Mercedes Benz GLA 43, GMC Yukon XL, Toyota Vellfire dan Range Rover Sport.
Tertuduh juga didakwa memiliki kondominium dan pangsapuri di Jalan Bukit Setiawangsa serta Setapak, selain membeli ruang pejabat di Taman Melawati, yang merupakan hasil aktiviti haram.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi, termasuk di Lembaga Tabung Haji, Jalan Tun Razak; Pejabat Sepakat Hidayah Sdn Bhd di Taman Melawati; Taman Ukay Perdana; Setapak antara 13 Feb 2015 dan 6 April 2021.
Anita pula didakwa atas 15 pertuduhan, iaitu memiliki wang dan menggunakan beberapa cek bagi membeli beberapa kondominium serta lot kedai di sekitar Taman Melati dan Taman Melawati di sini, semuanya bernilai RM5.06 juta yang merupakan hasil aktiviti haram.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan, antaranya di Public Islamic Bank di Taman Melawati, Permodalan Nasional Berhad dan Lembaga Tabung Haji di Jalan Tun Razak di sini antara 1 Mei 2015 hingga 6 April 2021.
Abu Yazid pula menghadapi tiga pertuduhan, iaitu memiliki wang simpanan tetap RM22,568.50 di akaun Public Islamic Bank dan memperoleh dua kereta mewah Range Rover dan Mercedes Benz melalui pembayaran tunai dan cek berjumlah RM319,347,35 yang merupakan hasil aktiviti haram.
Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank cawangan Sentul serta dua premis di Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak antara 5 Mac 2019 hingga 1 Julai 2021.
Di hadapan Hakim Azura Alwi, Hariza didakwa atas sembilan pertuduhan memiliki RM1.37 juta dalam beberapa akaun bank dan menggunakan RM111,500 melalui sekeping cek jurubank CIMB Bank dan sekeping cek Public Bank berjumlah RM79,997.33 sebagai sebahagian bayaran pembelian Toyota Vellfire yang merupakan hasil aktiviti haram.
Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di beberapa lokasi, termasuk CIMB Bank cawangan Taman Melawati dan pejabat TJM Sdn Bhd serta Permodalan Nasional Berhad di Jalan Tun Razak antara 14 Feb 2020 dan 1 Julai 2021.
Hariza dan Aziz turut didakwa bersama-sama memiliki wang tunai RM559,779.15 dalam akaun semasa CIMB Bank milik Sepakat Hidayah yang merupakan hasil aktiviti haram di CIMB Bank cawangan Taman Melawati pada 6 April 2021.
Muhammad pula berdepan 11 pertuduhan pengubahan wang haram, termasuk memiliki wang berjumlah RM764,516.23 dalam beberapa akaun bank, selain memiliki mata wang asing berjumlah GBP2,000 dan EUR1,300 serta memiliki seutas jam tangan Rolex dan menggunakan hasil aktiviti haram untuk membeli beberapa kereta mewah, termasuk Mercedes AMG GT, GMC Yukon XL dan Range Rover.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi antaranya Setapak, Wangsa Maju, Ampang dan Sungai Penchala antara 19 Mac 2018 hingga 6 April 2021.
Muhammad dan Abu Yazid, sebagai pengarah syarikat Panorama Indeks Sdn Bhd turut didakwa bersama-sama memiliki wang tunai RM28,985.13 milik syarikat itu yang merupakan hasil aktiviti haram di CIMB Bank cawangan Taman Melawati pada 6 April 2021.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Aziz diikat jamin RM400,000, Anita, Muhammad dan Hariza masing-masing RM250,000 serta Abu Yazid RM150,000, semuanya dengan seorang penjamin, selain pasport mereka diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nik Hasline Hashim, manakala semua tertuduh diwakili peguam Md Yunos Sharif.