Kes fitnah Maria Chin, mahkamah tolak rayuan Jamal

Kes fitnah Maria Chin, mahkamah tolak rayuan Jamal

Mahkamah rayuan memerintahkan Ketua Umno Sungai Besar itu membayar ganti rugi RM150,000 kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Jamal Yunos mendakwa Maria Chin Abdullah mempunyai kaitan dengan Daesh dan Bersih 2.0 merancang untuk mengepung dua lapangan terbang antarabangsa dan bangunan kerajaan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos untuk mengetepikan rayuan terhadap keputusan mahkamah lebih rendah yang mendapatinya bertanggungjawab memfitnah Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim, ketika membaca keputusan sebulat suara mahkamah berkata, Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya bahawa kenyataan Jamal yang mengaitkan Maria dengan Daesh pada 2016 adalah berunsur fitnah.

“Kami bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa kenyataan defendan (Jamal) pada 28 Sep 2016 dan 4 Okt 2016 adalah fitnah dan merendahkan reputasi plaintif (Maria),” katanya.

Maria yang juga bekas pengerusi Bersih 2.0 memfailkan saman terhadap Jamal berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan kumpulan pengganas dan Bersih 2.0 merancang untuk mengepung dua lapangan terbang antarabangsa dan bangunan kerajaan.

Hakim lain yang mendengar rayuan itu adalah Abdul Karim Abdul Jalil dan Gunalan Muniandy.

Mahkamah juga membenarkan rayuan Jamal untuk mengurangkan kuantum ganti rugi daripada RM300,000 kepada RM150,000.

“Jumlah RM300,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi adalah keterlaluan,” kata Zaidi.

Mahkamah juga menganugerahkan kos RM10,000 kepada Maria.

Jamal diwakili peguam Mohamad Fauzi Abdul Samad dan V Mugunthan, manakala Gurdial Singh Nijar dan Ngeow Chow Ying mewakili Maria.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.