
Tanpa menamakan sesiapa, Hamid berkata, “seseorang individu mesti menjalani kehidupan yang baik dan benar-benar jujur.”
“Pikul sebarang tugas dengan penuh rasa tanggungjawab. Buka mata anda, tanya orang sekeliling, dan dengar apa orang lain katakan,” katanya kepada FMT apabila diminta mengulas mengenai kenyataan EAIC.
Pada 22 Feb EAIC berkata, ia tidak dapat mengesahkan kewujudan “kartel polis” seperti didakwa Hamid dalam sidang media diadakan pada April tahun lalu sebelum beliau bersara.
Dalam responsnya kemudian, Hamid berkata, Pengerusi EAIC Sidek Hassan tidak biasa dengan “sistem” polis.
“Beliau sebenarnya tak tahu bagaimana sistem itu berfungsi…sangat menyedihkan. Orang pencen tak bohong,” katanya kepada FMT.
Berita Harian turut melaporkan Hamid sebagai berkata, beliau mendapati laporan EAIC mengenai isu kartel polis itu sebagai “cetek dan tidak betul”.
Susulan itu, EAIC mengeluarkan kenyataan lain pada 28 Feb menyatakan Hamid telah kehilangan haknya untuk mengulas mengenai perkara itu kerana beliau gagal mengemukakan sebarang bukti yang dapat menyokong dakwaannya mahupun menamakan mana-mana pegawai yang terlibat.
“Beliau mengakui selaku KPN tidak pernah membangkitkan mengenai isu kartel ini dalam mana-mana mesyuarat melibatkan Pengarah-pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman,” tambahnya.
Utusan Malaysia turut melaporkan Hamid enggan secara langsung menjawab kenyataan EAIC yang terbaru itu, dengan berkata beliau kini lebih sibuk dengan aktiviti menternak ikan dan berkebun.