35 pelajar SPM positif Covid-19, MRSM Pekan tutup seminggu

35 pelajar SPM positif Covid-19, MRSM Pekan tutup seminggu

Seramai 91 orang lagi pelajar dikesan menjadi kontak rapat kepada kes Covid-19.

Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar, berkata seramai 141 calon menduduki SPM di MRSM Tun Abdul Razak Pekan bermula Isnin lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang, menjadi pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pertama di negara ini terpaksa ditutup seminggu bermula semalam berikutan penularan Covid-19.

Notis penutupan dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan petang semalam yang mengarahkan asrama pelajar dan pejabat pentadbiran perlu dikosongkan untuk disinfeksi bagi mencegah penularan wabak itu.

Menurut sumber yang dilaporkan Harian Metro, sehingga semalam terdapat 35 pelajar menduduki peperiksaan SPM disahkan positif Covid-19, sementara 91 pelajar lagi menjadi kontak rapat.

Katanya, bagi menyekat penularan Covid-19, selain ketiadaan tempat tinggal selepas asrama terpaksa dikosongkan, tindakan menutup MRSM itu terpaksa dilakukan demi keselamatan dan kesihatan pelajar.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar, mengesahkan MRSM itu ditutup selepas mendapat arahan daripada PKD Pekan.

Katanya, penularan Covid-19 di MRSM itu begitu pantas berlaku dan dalam masa beberapa hari saja hampir semua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dijangkiti virus berkenaan.

“Di daerah ini, seramai 1,802 pelajar menduduki SPM yang bermula Isnin lalu membabitkan 21 sekolah dan di MRSM Tun Abdul Razak Pekan terdapat seramai 141 calon.

“Saya sentiasa mengingatkan pihak sekolah supaya sentiasa memantau tahap kesihatan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, mereka yang bergejala perlu menjalani ujian RTK bagi mengelak berlaku penularan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.