Jangan serah deposit selagi belum dapat surat tawaran tunai haji, kata TH

Jangan serah deposit selagi belum dapat surat tawaran tunai haji, kata TH

Ini kerana, Lembaga Tabung Haji masih menunggu makluman rasmi berkaitan urusan haji untuk tahun ini daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

Lembaga Tabung Haji menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berwaspada kerana ia tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen berhubung tawaran haji dan pakej haji. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Bakal jemaah yang berhasrat menunaikan ibadah haji melalui syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) pada musim ini diminta tidak menyerahkan sebarang wang deposit selagi belum mendapat surat tawaran menunaikan haji.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ini kerana setakat ini TH masih menunggu makluman rasmi berkaitan urusan haji untuk tahun ini daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

“TH menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah waspada kerana TH tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal berkaitan tawaran haji dan pakej haji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelantikan 22 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai PJH bagi musim haji 1443H/2022M menerusi penyerahan lesen PJH oleh TH di Menara TH di sini baru-baru ini adalah antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun.

“Kesemua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang iklan pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan TH,” katanya.

Beliau berkata, antara penerima lesen PJH kali ini ialah anak syarikat TH, iaitu Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS).

Menurut Syed Saleh, semua wakil PJH yang hadir pada majlis penyerahan lesen PJH telah diberikan taklimat berkaitan terma dan syarat perkhidmatan pakej haji musim haji 1443H/2022M.

Beliau berkata, senarai PJH yang menerima lesen PJH boleh disemak di laman web TH http://www.tabunghaji.gov.my.

Syed Saleh turut mengingatkan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan TH adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) dengan menelefon 03-6207 1919.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.