Kerajaan sudah hantar permohonan tambah kuota haji

Kerajaan sudah hantar permohonan tambah kuota haji

Surat rasmi telah dihantar kepada menteri haji dan umrah Arab Saudi untuk tambah kuota melebihi 31,600 pada masa ini, kata menteri agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berucap pada Majlis Doa Selamat Penutup Operasi Haji dan Penghargaan Rakan Korporat Tabung Haji Musim Haji 1446H/2025M di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur, hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia sudah menghantar permohonan kepada kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan tambahan kuota jemaah bagi musim haji tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata, surat rasmi mengenai permohonan itu telah dihantar kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, dan setakat ini jumlah kuota haji untuk Malaysia masih kekal 31,600.

“Saya telah memberi surat rasmi kepada Dr Tawfiq memohon untuk mendapatkan kuota tambahan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Tamat Operasi dan Penghargaan Sahabat Korporat Tabung Haji (TH) Musim Haji 1446H hari ini.

Majlis tersebut diadakan sebagai manifestasi penghargaan kepada semua agensi kerajaan, swasta serta Sahabat Korporat yang telah berganding bahu menjayakan Operasi Haji Musim 1446H.

Turut menerima penghargaan pada majlis itu, wartawan penyiaran Bernama Radio Nurliyana Farhah Ruslan.

Penghargaan turut diberikan kepada 32 Sahabat Korporat yang menyumbang sejumlah RM7.1 juta dalam pelbagai bentuk bagi membantu meringankan urusan jemaah haji musim itu.

Hadir sama, Ketua Konsulat Kedutaan Besar Diraja Arab Saudi Ali Abu Hikmah mewakili Duta Besar Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia Mesaad Ibrahim Al Sulaim dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Abdul Rashid Hussain.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, bagi usaha penambahbaikan untuk musim haji seterusnya, TH akan memberikan tumpuan antara lain dalam isu pendigitalan pasport bagi memastikan kelancaran pengurusan haji.

“Kita yakin dengan fokus yang diberikan kepada usaha pendigitalan ini, tempoh untuk pemprosesan pasport itu akan dapat dikurangkan. Kerjasama ini kita akan buat bersama kerajaan Arab Saudi dan Kementerian Haji dan Umrah (Arab Saudi),” katanya.

“Sebab tu saya tekankan supaya warga kerja dan pengurusan TH memfokuskan kepada proses inovasi serta memperkenalkan inovasi baharu kerana dengan cara inilah kita akan pastikan perjalanan pengurusan haji tahun depan akan berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau juga berkata, TH telah mengambil langkah melantik syarikat penyedia perkhidmatan haji di Arab Saudi yang baharu untuk memastikan jemaah mendapat perkhidmatan yang lebih baik dan selesa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.