
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, skop gangguan seksual bawah RUU itu perlu diperluaskan supaya terpakai terhadap semua orang, tanpa mengira status.
“Kita perlu meletakkan kewajipan terhadap organisasi-organisasi bagi mengekang dan menangani isu gangguan seksual.
“Pada masa akan datang, sekiranya ada kenyataan berunsur seksis dibuat di Parlimen, kita dapat membantu Speaker (Dewan Rakyat) menanganinya,” katanya dalam sidang media yang diadakan oleh All-Women’s Action Society (AWAM).
Beliau menegaskan, pendekatan itu berbeza daripada sekadar membiarkan seorang Ahli Parlimen yang membuat kenyataan sedemikian “terlepas” dengan hanya memohon maaf atau menarik balik kata-katanya.
Kumpulan Joint Action Group for Gender Equality, Engender Consultancy and the Young Women Making Change menggesa supaya RUU itu disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial.
“Kami menyuarakan kebimbangan berhubung kelompongan dalam RUU dalam bentuk memorandum. Kami juga mahukan kempen awam menggesa semakan segera RUU ini,” kata pegawai program AWAM, Aisyah Nisa.
Kumpulan hak asasi wanita terlibat turut menggesa masyarakat umum dan media menggunakan tanda pagar #ReviewTheBill di media sosial.
Mereka mahukan perkara berikut ditambah ke dalam RUU berkenaan, iaitu:
- Huraian komprehensif gangguan seksual yang merangkumi keseluruhan bentuk dan konteks;
- Sebuah tribunal bagi menerima dan menyiasat aduan gangguan seksual dengan cara yang bukan sahaja pantas lagi berpatutan, malah melindungi privasi, menyediakan perlindungan terhadap mangsa dan memberi pelbagai remedi (termasuk pampasan, pemulihan dan permohonan maaf daripada pelakunya);
- Komitmen yang dinyatakan secara jelas oleh organisasi (termasuk institusi pendidikan) di sektor awam dan swasta bagi mengekang dan menangani kes gangguan seksual, selain mewujudkan kesedaran organisasi menerusi dasar, latihan dan mekanisme penebusan yang berkesan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Yusoff membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat untuk kali pertama pada 15 Dis lalu. Bacaan kedua dijadualkan pada sidang Parlimen yang bermula hari ini.