Isu vaksin: Lokman diarah fail pernyataan pembelaan selewat-lewat 3 Mac

Isu vaksin: Lokman diarah fail pernyataan pembelaan selewat-lewat 3 Mac

Mahkamah turut mengarahkan Khairy Jamaluddin memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan itu pada 17 Mac.

Khairy Jamaluddin memfailkan saman terhadap Lokman Noor Adam pada 25 Jan lalu, memohon perintah injunksi supaya defendan memadam kenyataan dan video bersama kapsyen, tajuk dan komen dalam tempoh 24 jam.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan Lokman Noor Adam memfailkan pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 3 Mac ini dalam saman yang difailkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin terhadap beliau berhubung isu vaksin Covid-19.

Peguam Norfazilah Jaafar, yang mewakili Lokman, ketika dihubungi berkata, mahkamah juga mengarahkan Khairy memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan itu pada 17 Mac.

“Selain itu, kedua-dua pihak perlu memfailkan permohonan interlokutari (jika ada) pada 21 Mac,” katanya selepas prosiding pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar, Puteri Nursheila Rahimi hari ini.

Pada 17 Feb lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Khairy supaya injunksi ex-parte yang diperolehnya pada 3 Feb 2022 dilanjutkan hingga tarikh pendengaran injunksi inter-parte pada 10 Mei depan.

Khairy, 46, yang memfailkan saman terhadap Lokman pada 25 Jan lalu, memohon perintah injunksi supaya defendan memadam kenyataan dan video bersama-sama kapsyen, tajuk dan komen dalam tempoh 24 jam serta injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula hantaran itu.

Beliau juga memohon perintah mahkamah agar defendan memadam kenyataan fitnah yang diterbitkan semula di semua portal berita dan akaun media sosial dalam tempoh 24 jam.

Ahli Parlimen Rembau itu, yang memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman telah memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di laman Facebook Lokman Noor Adam Official pada 6 Jan lalu, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan YouTube Lokman Adam pada 10 Jan.

Khairy berkata, kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga vaksin selain memalsukan maklumat berkaitan status vaksinasinya.

Khairy mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integriti beliau terjejas teruk selain mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasi beliau direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.