KKM patut kuat kuasa larangan merokok, bukan kedai makan, kata kumpulan perniagaan

KKM patut kuat kuasa larangan merokok, bukan kedai makan, kata kumpulan perniagaan

Sukar untuk restoran mengambil tindakan terhadap pelanggan kerana mereka perlu kekal dalam perniagaan, kata Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia.

Undang-undang menetapkan perokok hanya boleh merokok dengan jarak 3m dari restoran.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan perniagaan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menguatkuasakan larangan merokok di kedai makan dan tidak menyerahkan tanggungjawab itu kepada pemilik restoran.

Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) Shaun Cheah berkata jika KKM “tidak mampu melaksanakan penguatkuasaan yang sewajarnya”, maka ia perlu ditanya sama ada larangan itu boleh dikuat kuasakan dengan betul.

Beliau berkata kesukaran yang dihadapi oleh perniagaan dalam menguatkuasakan larangan itu termasuk kekurangan tenaga kerja, pelanggan degil yang tidak mengendahkan amaran, dan risiko restoran kehilangan pelanggan dalam ekonomi yang sudah sukar ini.

Pada 2019, FMT melaporkan pemilik restoran berkata mereka mengalami kerugian sehingga 30% sejak larangan itu berkuat kuasa.

Shaun Cheah.

“Sebuah perniagaan memenuhi keperluan pelanggannya, jadi ia bertentangan dengan sifatnya untuk mengambil tindakan ke atas pelanggannya dalam menguatkuasakan undang-undang melainkan jika kesalahan serius dilakukan,” kata Cheah kepada FMT.

Berdasarkan undang-undang, perokok hanya boleh merokok dengan jarak 3m dari restoran, dan pemilik restoran boleh didenda RM5,000 atau penjara sehingga setahun jika mereka membenarkan merokok di premis mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata pendekatan semasa meletakkan perniagaan dalam keadaan terhimpit, antara menghormati undang-undang dan menjaga pelanggan mereka.

Carmelo Ferlito.

“Sebaliknya, pendekatan yang lebih seimbang perlu diguna pakai, iaitu di mana hak perokok dan bukan perokok dipertimbangkan, contohnya, dengan mewujudkan kawasan khusus merokok di dalam premis,” katanya.

Beliau berkata restoran tidak seharusnya dijadikan penguatkuasa larangan merokok, tetapi menggalakkan peraturan yang lebih adil yang memelihara hak kedua-dua perokok dan bukan perokok.

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata pematuhan oleh restoran dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa mesti seiring agar larangan merokok itu berjaya.

Larangan itu diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan dilaksanakan pada Januari 2019, dan diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Azrul Mohd Khalib.

Tahun lalu, FMT melaporkan bahawa beberapa kumpulan telah mengkritik penguatkuasaan larangan merokok, dengan Persatuan Pemilik Restoran India Muslim Malaysia (PRESMA) menyifatkan larangan itu sebagai “tidak adil” untuk menghukum pemilik. Persatuan itu kesal dengan penguatkuasaan peraturan yang tidak konsisten.

Pada Selasa, sebanyak 262 premis di sekitar Jalan Bukit Bintang, Jalan Alor dan Bangsar dikunjungi pegawai penguat kuasa KKM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Lebih 50 notis telah dikeluarkan, dengan kompaun berjumlah lebih RM10,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.