Saya tak nampak sesiapa serang Adib, saksi beritahu mahkamah

Saya tak nampak sesiapa serang Adib, saksi beritahu mahkamah

AJK kuil, M Nagaraju berkata, beliau tidak tahu siapa yang bakar atau merosakkan kenderaan yang diletak di luar Kuil Sri Maha Mariamman.

Seramai 17 individu didakwa atas pertuduhan merusuh dan memiliki senjata berbahaya di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada tengah malam 26 Nov 2018.
PETALING JAYA:
Seorang saksi dalam perbicaraan 17 lelaki yang didakwa merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada November 2018, berkata, beliau tidak nampak ada orang yang yang menyerang anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

M Nagaraju, yang mengetuai sebuah kumpulan dalam jawatankuasa kuil berkata, beliau tidak tahu siapa yang bertanggungjawab membakar atau merosakkan kenderaan yang diletak di luar premis kuil itu.

Nagaraju, saksi pendakwaan ke-10, disoal oleh peguam R Kirthiraj, yang mewakili salah seorang tertuduh, Muhammad Saifullah Abdullah.

Merujuk keterangannya dalam pemeriksaan utama Oktober lalu, Nagaraju, 66, berkata, beliau mengekalkan pendiriannya bahawa beliau tidak cedera atau luka apabila kira-kira 200 pemuda, kebanyakannya bersenjatakan kayu, menyerbu kuil itu untuk mengawal premis berkenaan.

Mohammad Adib Mohd Kassim.

Beliau juga bersetuju dengan peguam bahawa beliau tidak merujuk kepada mana-mana tertuduh dalam keterangan saksi itu.

“Saya juga tidak membuat laporan mengenai rusuhan pada 28 Nov 2018,” katanya.

Rusuhan pertama tercetus selepas sekumpulan pemuda menceroboh kawasan kuil itu pada tengah malam 26 Nov 2018 dan memulakan pergaduhan dengan penganut Hindu dalam kuil itu.

Dalam rusuhan kedua, Adib, yang berpangkalan di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah.

Beliau adalah antara sembilan anggota bomba yang tiba di kawasan itu untuk memadam kebakaran sebelum subuh 27 Nov.

Koroner Rofiah Mohamad pada September 2019 memutuskan “lebih dua individu tidak dikenali” membunuh Adib, 24, yang meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya tiga minggu kemudian, iaitu pada 17 Dis.

Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat lanjut kematian Adib dan laporan jawatankuasa itu dijangka siap pada April.

Selain Saifullah, 16 tertuduh lain adalah Muhammad Riduan Sekh Ruslan, Irwan Noordin, Mohamad Khairi Abdul Rashid, Rozaihan Zakaria, Muhammad Qayyum Mohd Faisal, Mohd Ashraf Mohd Faizal, Absal Eastrie Abdullah, Mohamed Jalil Talib, Muhammad Khairol Anuar Zabidi, Mohd Zamri Md Said, Shukri Razali, Nor Azmi Abdul Ghani, Mohammad Shahril Danniel Sajeel, Muhammad Hasneezam Shah Samsudin, Akmal Izzat Azi dan Mohd Norul Ismawi Islahuddin.

Mereka yang berusia 23 hingga 46 tahun didakwa merusuh dan memiliki senjata berbahaya antara 2 hingga 5 pagi 26 Nov 2018.

Pertuduhan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Husain memberitahu majistret Muhammad Iskandar Zainol bahawa 10 saksi lain akan dipanggil apabila perbicaraan disambung selama empat hari mulai 14 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.