Pendakwaan mohon pinda 1 pertuduhan rasuah terhadap Guan Eng

Pendakwaan mohon pinda 1 pertuduhan rasuah terhadap Guan Eng

Peguam bekas ketua menteri Pulau Pinang itu membantah, dengan alasan pindaan dicadangkan boleh menjejaskan strategi pembelaan mereka serta keterangan saksi-saksi terdahulu.

lim guan eng
Lim Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang untuk meminta seorang ahli perniagaan memberikan 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut, selain menerima RM3.3 juta sebagai wang suapan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pendakwaan dalam perbicaraan rasuah Lim Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut memohon meminda salah satu pertuduhan terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin memberitahu Mahkamah Sesyen pihak pendakwaan memohon meminda kandungan pertuduhan yang mendakwa Lim menerima RM3.3 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Beliau berkata pindaan dicadangkan itu tidak akan menjejaskan pembelaan Lim, memandangkan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu secara konsisten menegaskan beliau tidak pernah menerima jumlah wang yang didakwa terbabit.

Bagaimanapun, peguam Lim, Haijan Omar, berkata pihak pembelaan akan membantah permohonan itu, dengan alasan pindaan terbabit boleh menjejaskan kes mereka serta saksi-saksi terdahulu yang telah pun memberi keterangan.

Sebagai respons, hakim Azura Alwi mengarahkan pihak pembelaan memfailkan hujahan mereka, dan mahkamah akan mendengar bantahan itu esok.

Sementara itu, ahli perniagaan G Gnanaraja memberitahu mahkamah hari ini bahawa nama Lim tidak muncul dalam mesej teks antaranya dengan seorang lagi ahli perniagaan, Zarul Ahmad Zulkifli.

Beliau turut bersetuju dia dan Zarul tidak pernah berbincang mengenai dakwaan ‘pinjaman mesra’ sebanyak RM19 juta yang dikatakan akan diterimanya.

Semasa pemeriksaan balas, peguam bersama, Tiara Katrina Fuad, mencadangkan keterangan Gnanaraja mengenai pinjaman RM19 juta itu tidak logik, namun beliau menafikannya.

“Adakah anda bersetuju anda menawarkan diri sebagai saksi dalam kes ini untuk meletakkan kesalahan ke atas YB Lim kerana anda telah membuat perjanjian dengan pihak pendakwaan?” soalnya.

Gnanaraja menolak dakwaan itu dan tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Lim dituduh menggunakan kedudukannya ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang untuk meminta 10% bahagian keuntungan daripada projek terowong dasar laut itu, selain menerima rasuah RM3.3 juta daripada Zarul.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan kerana dengan tidak jujur menyalahgunakan tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.