Leissner dan Ng ‘guna isteri sembunyi sogokan 1MDB’

Leissner dan Ng ‘guna isteri sembunyi sogokan 1MDB’

Tim Leissner yang menjadi saksi utama dalam perbicaraan Roger Ng di AS berkata, mereka merekayasa 'cerita' agar bank yang memproses wang tersebut tidak curiga.

Tim Leissner berkata, selepas penjualan pertama pada 2012, dia menerima USD35 juta daripada Low Taek Jho dan memindahkan separuh daripadanya kepada Roger Ng.
NEW YORK:
Dua pegawai bank Goldman Sachs berkomplot dengan membabitkan isteri mereka untuk menyembunyikan sogokan yang diterima kerana membantu menyelewengkan dana 1MDB.

Ini didedahkan oleh salah seorang daripa mereka, Tim Leissner, yang menjadi saksi utama dalam perbicaraaan rasuah seorang lagi pegawai bank terbabit, Roger Ng.

Leissner, yang pernah menjadi penyelia Ng di Goldman berkata, dia menerima sogokan daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low kerana membantu menggelapkan dana yang diperoleh Goldman untuk 1MDB melalui tiga penjualan bon.

Katanya, selepas penjualan pertama pada 2012, dia menerima USD35 juta daripada Low dan memindahkan separuh daripadanya kepada Ng.

Mereka kemudian berbincang untuk merekayasa “cerita” bagi menjelaskan perihal wang tersebut agar bank yang memprosesnya tidak curiga, tambahnya.

“Keluarga isterinya sebelum ini melabur dalam perniagaan isteri saya, Judy, di China, dan ini adalah hasil pelaburan tersebut,” katanya kepada juri di mahkamah persekutuan Brooklyn, merujuk kepada bekas isterinya, Judy Chan.

Leissner berkata, “cerita” ini tidak benar dan dia tidak tahu sama ada Ng menyampaikannya kepada bank.

Pernyataan ini mungkin menimbulkan masalah bagi Ng.

Peguamnya, Marc Agnifilo, menafikan bayaran tersebut adalah sogokan, dan isteri mereka mempunyai perniagaan yang sah secara bersama.

Agnifilo berkata, beliau bercadang untuk memanggil isteri Ng, Hwee Bin Lim, untuk memberi keterangan membela suaminya.

Beliau mungkin menyoal Leissner mengenai bayaran tersebut sewaktu pemeriksaan balas yang hanya akan berjalan minggu depan kerana Jabatan Kehakiman (DoJ) AS tidak mendedahkan bahahian awal kira-kira 15,500 dokumen berkaitan Leissner kepada pihak pembelaan.

Dalam pernyataan pembukaannya, Agnifilo memberi isyarat bahawa beliau akan mencabar kredibiliti Leissner dengan bertanyakan soalan mengenai hubungan sulitnya.

Leissner, 52, turut memberi keterangan semalam bahawa pada 2013, semasa berpisah dengan Chan, dia memalsukan surat cerai untuk berkahwin dengan Kimora Lee Simmons, seorang model warga AS yang juga bekas isteri penerbit muzik, Russell Simmons.

Pada 2018, Leissner mengaku bersalah kerana bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah AS dan terlibat dalam konspirasi pengubahan wang haram.

Goldman membayar denda hampir USD3 bilion dan mengatur supaya unitnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS pada 2020.

AS mendakwa Low pada 2018, tetapi dia belum ditangkap oleh pihak berkuasa AS mahupun Malaysia. Menurut Malaysia, Low berada di China, namun ini dinafikan oleh Beijing.

Ng, 49, mengaku tidak bersalah bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.