Kes bunuh anak: Remaja cabar perintah mahkamah tak benar jaminan

Kes bunuh anak: Remaja cabar perintah mahkamah tak benar jaminan

Permohonan itu dikemukakan selepas tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Majistret Kemaman.

Remaja berusia 15 tahun itu kini berada dalam tahanan polis selepas didakwa membunuh anaknya yang baru lahir pada 8 Feb di Seri Bandi, Kemaman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Remaja berusia 15 tahun yang didakwa membunuh anak baru lahir awal bulan ini memohon jaminan sementara menunggu perbicaraannya selesai.

Pada 15 Feb lalu, remaja itu, yang diwakili peguam Sangeet Kaur Deo, dinafikan ikat jamin oleh Mahkamah Majistret Kemaman.

Dia didakwa membunuh anak yang baru dilahirkannya pada 8 Feb lalu di sebuah rumah di Seri Bandi, Kemaman, Terengganu.

“Kami telah memfailkan semakan terhadap keputusan itu. Kes ini akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Mac,” kata Sangeet dalam kenyataan hari ini.

Remaja itu, yang merupakan mangsa rogol, sebelum ini direman oleh polis bagi membantu siasatan berhubung kematian bayinya yang baru lahir.

Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja dipercayai menikam bayi lelaki yang baru dilahirkannya di Kemaman, Terengganu.

Polis sebelum ini dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan menemui kesan tikaman akibat penggunaan objek tajam di dada kiri bayi itu.

Remaja yang keciciran pelajaran sejak tiga tahun lalu itu dipercayai bersendirian di rumah ketika melahirkan anaknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.