Pusat Komas perjelas dapatan PN, PH, kempen guna kaum, agama berbanding BN pada PRN Melaka

Pusat Komas perjelas dapatan PN, PH, kempen guna kaum, agama berbanding BN pada PRN Melaka

NGO itu menjelaskan, secara keseluruhan BN menduduki tempat tertinggi dalam topik kaum khususnya dasar berasaskan kaum, mendorong naratif hak dan keistimewaan Bumiputera.

Mana-mana siaran atau ulasan yang mengandungi sebutan tentang etnik adalah termasuk dalam kategori ‘kaum dan agama’ tidak kira sama ada ia merujuk secara umum kepada etnik atau agama, provokasi perkauman atau agama, termasuk menentang perkauman, kata Pusat Komas.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi manusia, Pusat Komas, tampil menjelaskan dapatan kajiannya berhubung strategi komunikasi menggunakan “kaum dan agama” pada kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka November lalu yang dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, mana-mana siaran atau ulasan yang mengandungi sebutan tentang etnik adalah termasuk dalam kategori berkenaan tidak kira sama ada ia merujuk secara umum kepada etnik atau agama, provokasi perkauman atau agama, termasuk menentang perkauman.

“Dalam pengertian ini, mesej yang menyeru kepada perpaduan di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama juga termasuk dalam kategori ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, FMT melaporkan isu perkauman dan agama didapati digunakan dalam mesej pilihan raya membabitkan PN sebanyak 56%, dan 39% digunakan dalam mesej PH, menurut dapatan kajian membabitkan hantaran utama dalam saluran rasmi parti, termasuk jurucakap parti masing-masing.

Dalam laporan berkenaan, hanya 25% mesej pilihan raya Barisan Nasional (BN) adalah berhubung isu kaum dan agama dengan gabungan berkenaan lebih banyak menumpukan kepada isu politik dan ekonomi.

Dalam pada itu, Pusat Komas berkata, dapatan itu dicerap melalui peratusan diwakili berdasarkan jumlah mesej yang disampaikan oleh setiap parti gabungan secara individu.

“Oleh itu, jumlah maklumat yang dihasilkan oleh ketiga-tiga gabungan itu tidak sama dan oleh itu tidak boleh diukur secara sama,” katanya.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu menjelaskan, BN menduduki tempat tertinggi dalam topik kaum khususnya dasar berasaskan kaum, mendorong naratif hak dan keistimewaan Bumiputera.

“Di samping itu, mereka memperjuangkan keperluan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

Katanya, agenda PH tertumpu kepada menggalakkan dasar inklusif untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“PH juga mengkritik BN kerana menyebabkan perpecahan kaum dan budaya kroni,” katanya.

Pusat Komas berkata, PN mendapat sebutan tertinggi berkaitan agama kerana slogan kempen “Islam Menyatukan Ummah”.

“Mereka juga merupakan penyokong kuat langkah penutupan kedai 4D dan perubahan nama jenama wiski “Timah”,” katanya.

Pusat Komas juga memberi peringatan kepada pihak berkaitan supaya tidak memanipulasi penemuan penyelidikan berkenaan untuk kepentingan politik masing-masing.

Hasil penyelidikan pusat berkenaan boleh didapati di https://komas.org/results-of-the-melaka-state-election-social-media-monitoring-project/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.