Polis siasat kumpulan NGO Islam, penyokong langgar SOP berhimpun di pekarangan mahkamah

Polis siasat kumpulan NGO Islam, penyokong langgar SOP berhimpun di pekarangan mahkamah

Ahli Ummah, Pembela, Berjasa, Putra dan Perkasa, termasuk penceramah kontroversi, Zamri Vinoth, kini sedang disiasat, kata polis

Perhimpunan yang diwakili kumpulan NGO Islam dan beberapa wakil parti politik berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
PETALING JAYA:
Polis sedang menyiasat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politik termasuk individu yang melakukan protes di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Perhimpunan yang dibuat pada sebelah pagi itu “memaparkan solidariti kepada anak-anak mualaf Perlis yang menjadi perhatian nasional”, menurut hantaran Facebook Gerakan Pembela Ummah, merujuk kepada anak-anak Loh Siew Hong.

Selain Ummah, wakil daripada Pembela, Berjasa, Putra dan Perkasa, termasuk penceramah kontroversi, Zamri Vinoth, dilihat hadir dan memberikan ucapan.

Bagaimanapun, kesemua mereka disyaki melanggar SOP Covid-19, kata Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai, yang turut mengesahkan siasatan dibuka terhadap kumpulan berkenaan dan beberapa individu.

“Kami menyiasat mereka mengikut peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam Kawasan Tempatan Dijangkiti) 2021 kerana berkumpul dalam jumlah besar dan melanggar SOP,” katanya kepada FMT.

Beh berkata, polis akan memanggil pihak penganjur terbabit dalam masa terdekat.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpus Loh bagi mendapatkan semula hak penjagaan ke atas tiga anaknya.

Loh berpisah dengan anak kembar perempuan berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun selama tiga tahun selepas bekas suaminya mengambil anak-anak mereka.

Tiga kanak-kanak itu berada dalam penjagaan persatuan Islam dan dikatakan memeluk Islam dengan persetujuan bapa, yang mana dia sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.