Polis akan reman Zamri Vinoth, penganjur bersama himpunan rumah ibadat ‘haram’

Polis akan reman Zamri Vinoth, penganjur bersama himpunan rumah ibadat ‘haram’

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadhil Marsus berkata dua lelaki itu disiasat bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta SKMM.

Zamri Vinoth and Tamim Dahri Abdul Razak
Penganjur bersama perhimpunan Zamri Vinoth dan Tamim Dahri Abdul Razak ditahan di IPD Dang Wangi.
KUALA LUMPUR:
Polis akan memohon perintah reman terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri Abdul Razak yang ditahan malam tadi sebelum himpunan membantah rumah ibadat ‘haram’.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata dua lelaki yang juga penganjur perhimpunan itu ditahan di IPD Dang Wangi.

“Proses reman sedang berjalan dan kami akan memaklumkan media sebaik sahaja terima pengesahan,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, kedua-duanya sedang disiasat mengikut Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Menurutnya, 19 individu ditahan malam tadi, dengan 17 orang dibebaskan selepas keterangan mereka direkodkan.

Jelasnya, 131 laporan polis dibuat terhadap Zamri dan kumpulan dikenali Gerakan Anti Rumah Anutan Haram.

Perhimpunan yang dirancang di luar kompleks beli-belah Sogo malam tadi gagal diadakan kerana tidak dibenarkan polis atas faktor keselamatan.

Kira-kira 200 anggota beruniform, termasuk pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) dikerahkan ke lokasi itu.

Ketua Polis Dang Wangi, Sazalee Adam, bercakap dengan peserta perhimpunan itu sebelum mengarahkan mereka bersurai.

Antara individu dilaporkan ditahan ialah peguam Haniff Khatri Abdulla, Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat Shafiq Abdul Halim, Hishamuddin Abu Bakar dari NGO Ummah, Iskandar Khoo dari Bersatu dan Gulab Jan dari PPIM.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurutnya hak untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan tidak boleh digunakan sehingga mencetuskan kegentaran awam atau mengancam keselamatan negara.

“Kita tidak akan berkompromi dalam perkara mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya selepas Hari Keselamatan Internet 2026 di Taman Tasik Titiwangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.