
Di luar perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur, puluhan wakil media dan aktivis Islam pelbagai persatuan menunggu untuk Loh muncul bersama anak kembar perempuan berusia 14 tahun dan adik lelaki mereka berumur 10 tahun. Namun empat beranak itu tidak mahukan publisiti, sebaliknya hanya masa untuk bersama sebagai sebuah keluarga.
Loh dan anak-anaknya berjaya “melepaskan” diri daripada tumpuan media dan beredar ke sebuah restoran untuk makan tengah hari dan bergaul mesra.
Buat masa ini, Loh yang beragama Hindu tidak mahu memikirkan isu tiga anaknya diislamkan tanpa kebenarannya. Hari ini, yang penting bagi Loh ialah keputusan mahkamah mengembalikan tiga anaknya kepada penjagaan penuh beliau.
“Loh amat gembira (dengan keputusan mahkamah). Perkara pertama dibuat selepas keputusan itu ialah memeluk anak-anaknya dan bertanya sama ada mereka mahu pergi makan. Mereka menjawab ya,” kata peguam ibu tunggal itu, Shamsher Singh Thind.
Beliau menyifatkan Loh sebagai “amat lega” dengan keputusan mahkamah dan berkata hubungan wanita itu dengan tiga anaknya akan semakin kukuh susulan isu hak penjagaan mereka sudah diputuskan.
“Hubungan mereka akan semakin baik. Ini bukan perkara kecil, mereka (Loh dan tiga anaknya) berpisah tiga tahun,” katanya.
Dalam keputusannya, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Mac 2021, pemohon (Loh) diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anaknya.
“Terdapat juga perintah ex-parte interim bertarikh 20 Dis 2019, memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal anak-anaknya kepada pemohon.
“Perintah mahkamah masih kekal dan masih sah. Perintah mahkamah tidak boleh dilayan dengan sewenang-wenangnya dalam berhadapan penghinaan mahkamah. Oleh sebab perintah mahkamah masih kekal, saya membenarkan permohonan writ habeas corpus,” kata hakim itu.
Loh menangis selepas mendengar keputusan itu.
Beliau sebelum ini memfailkan permohonan habeas corpus untuk mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya yang berada bawah jagaan pihak lain.
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini memberitahu tiga anak Loh diislamkan di negeri itu dengan kebenaran bapa mereka, namun menegaskan ia tidak melanggar undang-undang syariah Perlis.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini memutuskan kebenaran ibu dan bapa harus diperoleh untuk tujuan penukaran agama anak kepada Islam.