Biar ibu tunggal dapat semula anak, tapi mereka mesti kekal Islam, kata Mufti P Pinang

Biar ibu tunggal dapat semula anak, tapi mereka mesti kekal Islam, kata Mufti P Pinang

Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, membatalkan pengislaman anak-anak Loh Siew Hong ‘tidak praktikal’ dan mungkin ‘lebih merumitkan keadaan’.

Permohonan habeas corpus Loh Siew Hong untuk mendapatkan semula anak-anaknya akan didengar di Kuala Lumpur esok.
GEORGE TOWN:
Ibu tunggal yang tiga anaknya ditukar agama secara sepihak, Loh Siew Hong, sepatutnya diberi hak penjagaan, tetapi pengislaman mereka tidak boleh dibatalkan, kata mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata, membatalkan pengislaman anak-anak tersebut “tidak praktikal” dan mungkin “lebih merumitkan keadaan”, sambil menambah, mereka patut kekal sebagai orang Islam untuk kebaikan semua.

Mufti itu mengulas gesaan Arun Dorasamy daripada Pasukan Tindakan Indira Gandhi agar penukaran agama anak-anak itu dibatalkan.

“Tindakan sedemikian juga boleh ‘mengeruhkan’ kejernihan hubungan antara masyarakat Hindu dan Islam di negara ini,” katanya kepada FMT.

Wan Salim Wan Mohd Noor.

“Daripada perspektif agama Islam, keislaman seseorang tidak terbatal menerusi keputusan mahkamah selagi dia sendiri tidak mengaku keluar daripada agama Islam dengan kerelaannya tanpa sebarang paksaan daripada sesiapa.”

Wan Salim berkata, pihak berkuasa harus membenarkan wanita itu berjumpa anak-anaknya sekerap mungkin di mana-mana tempat yang selamat, malah membawa mereka pulang ke rumah secara berkala, seperti pada hujung minggu, bawah pengawasan polis.

“Islam tidak menghalang sama sekali anggota sebuah keluarga yang berbeza agama tinggal serumah, malah mereka boleh makan bersama asalkan tidak melibatkan makanan yang haram,” katanya.

Wan Salim juga mencadangkan supaya anak-anak Loh dihantar ke sekolah berasrama penuh, di mana kebajikan dan keselamatan mereka akan terjamin.

“Pada pandangan saya, cadangan seperti yang dikemukakan adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang terjadi,” katanya.

“Dengan cara ini, tiada pihak yang teraniaya, di samping dapat mengelak sensitiviti Umat Islam yang mungkin menganggap pihak tertentu ingin memaksa penganut Islam supaya murtad.”

Permohonan habeas corpus Loh untuk mendapatkan semula anak-anaknya akan didengar di Kuala Lumpur esok di mana mereka akan hadir bersamanya.

Tahun lepas, Loh bercerai dengan suaminya dan diberikan hak penjagaan penuh ke atas anak-anaknya. Bagaimanapun, polis gagal mendapatkan mereka walaupun selepas diarahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Loh baru-baru ini mendapati anak kembarnya berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun telah ditukar agama kepada Islam secara sepihak oleh pihak berkuasa agama Perlis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.