
Beliau berkata, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob memberi tempoh dua minggu kepada beliau dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyediakan garis panduan bagi pembukaan sempadan.
Namun jelasnya, ini tidak bermakna sempadan negara akan dibuka dalam masa dua minggu lagi kerana perkara itu perlu dibincangkan di beberapa peringkat terlebih dahulu.
Katanya, garis panduan berkenaan perlu dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, serta Jawatankuasa Kuartet Menteri Covid-19 sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.
“Sebab ini keputusan besar yang tidak boleh dibuat di peringkat KKM, ini melibatkan polisi besar negara. Saya jangka mungkin suku tahun kedua adalah satu garis masa realistik, tetapi tarikhnya biarlah Perdana Menteri yang tentukan nanti,” katanya selepas melawat Klinik Kurnia, Jalan Tanjung Laboh, di sini yang menawarkan perkhidmatan Skim Peduli Kesihatan B40 (PeKa B40).
Berhubung keputusan Amerika Syarikat menangguhkan kelulusan vaksin Covid-19 Pfizer untuk kanak-kanak lima tahun ke bawah akibat regimen dua dosnya tidak berfungsi dengan baik terhadap varian Omicron, Khairy berkata, kumpulan kerja teknikal sentiasa memberi nasihat kepada KKM berhubung kesesuaian vaksin.
“Kita ada dua proses, satu kelulusan oleh badan kawal selia, iaitu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan satu lagi adalah pandangan kumpulan pakar.
“Kumpulan pakar sedang memperhalusi data untuk vaksin kanak-kanak bawah usia lima tahun, belum ada apa-apa syor lagi kepada KKM,” katanya.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) dilaporkan berkata, ia memerlukan lebih banyak data mengenai vaksin itu, sekali gus menangguhkan keputusan untuk menggunakan vaksin berkenaan kepada kanak-kanak enam bulan hingga empat tahun sekurang-kurangnya dua bulan.
Mengenai PeKa B40 untuk pengesanan dan pencegahan awal penyakit tidak berjangkit (NCD), Khairy berkata, seramai 561,990 individu daripada kumpulan B40 disaring setakat ini.
“Bagaimanapun, jumlah ini masih rendah berbanding jumlah yang layak, iaitu lebih 4.9 juta orang di seluruh negara. Di Johor, 47,448 penerima telah disaring di bawah skim ini dan daripada jumlah itu, 12,950 disahkan menghidap NCD.
“Saya ingin menyeru mereka yang layak untuk menjalani saringan kesihatan percuma di mana-mana klinik kesihatan kerajaan dan klinik swasta yang berdaftar di bawah PeKa B40 di seluruh negara.”
Katanya, fokus utama inisiatif itu adalah pencegahan peringkat awal melalui empat manfaat kesihatan yang ditawarkan, iaitu saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif pengangkutan.
Mengikut Persekutuan Jantung Sedunia, NCD khususnya penyakit pulmonari obstruktif kronik, penyakit jantung, hipertensi dan diabetes merupakan faktor risiko utama yang akan menyebabkan pesakit Covid-19 mengalami simptom teruk.