
P Waytha Moorthy berkata, Wan Junaidi seolah-olah mahu melepaskan diri dan “mudah” mengambil jalan keluar dengan menyatakan bahawa agama berada di bawah bidang kuasa negeri.
Menurutnya, penghujahan dibuat Wan Junaidi “sangat cacat” mengambil kira undang-undang Perlis ‘ultra vires’ dengan Perlembagaan Persekutuan berhubung penukaran agama unilateral.
“Menteri undang-undang sepatutnya melebihi orang lain perlu sedar Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara,” katanya dalam kenyataan.
Waytha turut tidak berpuas hati susulan saranan Wan Junaidi yang mencadangkan ibu tunggal, Loh Siew Hong, membawa perihal anaknya ke mahkamah bagi mencabar penukaran agama secara unilateral itu.
“Ia sesuatu tidak masuk akal,” katanya tiada negeri, pihak berkuasa mahupun kerajaan persekutuan boleh menggubal undang-undang yang bertentangan dengan hak asas dan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi, sudah membuat keputusan membabitkan prinsip undang-undang berhubung penukaran agama.
Dalam kes Loh, Waytha berkata, dia telah diberikan hak penjagaan oleh Mahkamah Tinggi dan mempunyai “hak mutlak dan tidak boleh dipisahkan” ke atas status undang-undang terhadap tiga anaknya yang masih kecil.
Waytha berkata, kerajaan dan pihak berkuasa mempunyai kewajipan untuk melaksanakan prinsip ditetapkan mahkamah.
Awal hari ini, Wan Junaidi berkata, sistem mahkamah adalah jalan terbaik Loh untuk mencari penyelesaian membawa perihal anaknya itu sebagai “penimbang tara terakhir”.
Semalam, Mufti Perlis Asri Zainul Abidin, mengesahkan jabatan agama negeri itu telah mendaftarkan tiga anak Loh sebagai Muslim atas permintaan bapa mereka, tiga tahun lalu.