
Komander PPM Wilayah 2 Johor, Muhd Zailani Abdullah, berkata pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat awam dan risikan berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan pantai tersebut pada jam 6.30 petang.
Beliau berkata, ketika pemantauan dan risikan dijalankan, pasukan operasi telah menjumpai satu kotak berwarna coklat yang ditanam dalam pasir kira-kira 30 meter dari pantai.
“Hasil pemeriksaan mendapati kotak itu mengandungi beberapa bungkusan lain dan pecahan sebanyak 13 bungkusan teh Cina berwarna hijau disyaki dadah jenis syabu.
“Pemeriksaan di sekitar kawasan tidak menampakkan suspek atau petunjuk lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, siasatan juga mendapati, taktik baharu ini digunakan untuk kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah ke negara jiran melalui jalan laut.
“Kesemua barang tersebut dirampas dan dibawa ke IPD Muar untuk siasatan dan tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“PPM sentiasa menjalankan operasi bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang rentas sempadan. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada PPM Wilayah 2 di talian 07-2372221,” katanya.