Berang dilarang parkir, 2 lelaki belasah pengawal keselamatan

Berang dilarang parkir, 2 lelaki belasah pengawal keselamatan

Kejadian berlaku di sebuah pusat beli-belah semalam selepas pengawal keselamatan warga Nepal melarang dua lelaki itu meletakkan motosikal di hadapan pintu masuk.

Video tular seorang lelaki, dipercayai kakitangan pengurusan pusat beli-belah, telah memarahi dua suspek itu kerana memukul pengadu.
PETALING JAYA:
Dua lelaki didakwa menyerang seorang pengawal keselamatan warga Nepal selepas melarang mereka meletakkan motosikal mereka di hadapan pintu masuk sebuah pusat beli-belah, di Kuala Lumpur, semalam.

Kedua-dua suspek yang berusia 30 tahun itu pada mulanya tidak mengendahkan teguran pengadu dan terus masuk ke dalam bangunan terbabit untuk melakukan urusan mereka.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Farouk Eshak berkata, sebaik keluar, berlaku pertengkaran mulut antara mereka sebelum pengawal keselamatan itu diserang.

“Pengadu telah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang dan mengalami kecederaan di bahagian mata sebelah kiri dan kanan serta hidung telah berdarah,” katanya.

Video insiden yang berlaku di Pandan Capital itu juga menjadi tular di media sosial.

Ia menunjukkan seorang lelaki, dipercayai kakitangan pengurusan pusat beli-belah, telah memarahi dua suspek itu kerana memukul pengadu berusia 41 tahun berkenaan.

“Pihak pengurusan menghubungi polis dan kita telah membawa suspek ke balai untuk merakam keterangan,” kata Farouk.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.