Suspek letupan IED dituduh di hospital esok

Suspek letupan IED dituduh di hospital esok

Polis berkata suspek berusia 60-an itu masih dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

Polis berkata kejadian itu membabitkan penggunaan dan pemilikan bahan letupan berbahaya yang menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan awam serta kerosakan harta benda. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suspek disyaki terbabit kes menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) di Desa Palma, Nilai, bulan lalu akan didakwa di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, esok.

Ketua Polis Nilai, Johari Yahya, berkata lelaki tempatan berusia 60-an yang masih menerima rawatan itu akan berdepan lima pertuduhan.

Beliau berkata, tiga pertuduhan di bawah Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki bahan letupan dalam keadaan menimbulkan anggapan munasabah bahawa diniatkan untuk digunakan bagi menyebabkan kecederaan.

“Bahan letupan berkenaan ditemui di sebuah unit kediaman di apartmen Desa Palma, Proton Wira diparkir di kawasan Star Valley Nilai di tepi jalan utama Kampung Batang Benar, Mantin.

“Suspek turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 4 akta sama dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan bahan letupan sehingga menyebabkan kerosakan ke atas sebuah kenderaan awam,” katanya menurut Bernama.

Johari berkata, kejadian itu diklasifikasikan kes berprofil keselamatan tinggi dan pihak polis mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati kejadian itu membabitkan penggunaan serta pemilikan bahan letupan berbahaya yang menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan awam, selain menyebabkan kerosakan harta benda.

Katanya, siasatan menyeluruh dijalankan, termasuk analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keterangan saksi awam, pemeriksaan forensik serta tindakan Unit Pemusnah Bom.

“Polis memandang serius sebarang perbuatan melibatkan bahan letupan dan ancaman terhadap keselamatan awam dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu terlibat dalam aktiviti sedemikian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.