
Beliau ambil maklum ada desakan sesetengah pihak supaya had umur untuk memilih agama ditingkatkan lagi sehingga seseorang mencapai usia baligh, dan “lain-lain pandangan lagi”.
“Persoalan ini terserah kepada pihak kerajaan untuk menentukannya berdasarkan kepentingan awam,” katanya kepada FMT.
“Pihak berkuasa berhak mengarahkan para ulama dan para mufti untuk menyemak semula keputusan fatwa sedia ada dalam kebebasan memilih agama ini untuk mencapai kepentingan semua pihak,” katanya.
Wan Salim mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 yang menetapkan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk menukar agama anak-anak.
Keputusan bersejarah empat tahun lalu itu, kini menjadi tumpuan susulan kes tiga beradik berusia antara 10 tahun dan 14 tahun didapati diislamkan di Perlis, tanpa kebenaran ibu tunggal mereka, Loh Siew Hong, yang menetap di Pulau Pinang.
Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, semalam mengesahkan penukaran agama kanak-kanak itu, dibuat mengikut hasrat bapa mereka yang kini berada di penjara di Machang, Kelantan.
Wan Salim berkata dalam penentuan agama kanak-kanak, majoriti ulama berpendapat seorang kanak-kanak yang mencapai usia ‘mumayyiz’ hendaklah diberi kebebasan untuk memilih agama yang dikehendakinya, namun ada juga ulama yang mengambil pandangan berbeza.
Usia “mumayyiz” merujuk kepada usia kemampuan seseorang mengurus diri sendiri dan tahu membezakan antara baik dan buruk.
Beliau berkata dalam kes Loh dan anak-anaknya, yang perlu dipertimbangkan “adalah kasih sayang dan hubungan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak-anak terus kukuh dan mesra walaupun mereka berbeza agama.”
“Perbezaan agama perlu dilihat sebagai sesuatu yang natural, sama seperti perbezaan bahasa, etnik, warna kulit, rupa paras, dan sebagainya,” kata Wan Salim.
Ketika ini, tiga anak Loh itu dijaga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di Perlis, sementara menunggu permohonan habeas corpus yang difailkan oleh beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur didengar Isnin depan.