Badan Peguam fail semakan ketepi penghakiman berhubung pelanggaran tugas

Badan Peguam fail semakan ketepi penghakiman berhubung pelanggaran tugas

Ia bagi mengetepikan penghakiman Mahkamah Persekutuan berhubung pelanggaran kewajipan statutori di bawah Akta Profesion Undang-undang (LPA).

(Dari kiri) Tommy Thomas dan VC George mengemukakan resolusi untuk membincangkan salah laku Muhammad Shafee Abdullah di mesyuarat agung tahunan Badan Peguam dan untuk perkara itu dirujuk kepada Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguam Cara.
PUTRAJAYA:
Badan Peguam memfailkan permohonan semakan untuk mengetepikan penghakiman Mahkamah Persekutuan berhubung pelanggaran kewajipan statutori bawah Akta Profesion Undang-undang (LPA).

Penghakiman yang disampaikan pada 21 Okt 2021, turut mendapati Peguam Kanan Tommy Thomas dan VC George bertanggungjawab atas percubaan membincangkan tingkah laku Muhammad Shafee Abdullah sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam kes liwat kedua Anwar Ibrahim dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan itu pada 2015.

Peguam Sarah Abishegam, yang mewakili Shafee pada pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan dua hari lalu berkata, permohonan itu difailkan pada Disember.

“Satu lagi pengurusan kes akan diadakan minggu depan untuk menetapkan tarikh perbicaraan,” katanya kepada FMT.

Badan Peguam bergantung kepada Peraturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan itu dan perkara itu didengar semula.

Ia mahu mahkamah menggunakan kuasanya untuk menyemak keputusan sebelum ini bagi mengelakkan ketidakadilan atau penyalahgunaan proses.

Thomas, George dan Shafee dinamakan sebagai responden.

Hakim Abdul Rahman Sebli, yang menyampaikan keputusan panel tiga anggota itu berkata, hanya Badan Peguam perlu membayar ganti rugi kerana ia adalah badan berkanun di bawah LPA.

Penilaian ganti rugi akan dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

Thomas adalah Peguam Negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020, manakala George adalah hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dari 1981 hingga 1995.

Kedua-duanya mengemukakan resolusi untuk membincangkan salah laku Shafee pada AGM dan meminta jawatankuasa akan datang merujukkan perkara itu kepada Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguam Cara.

Rahman, yang bersidang bersama Rohana Yusuf dan Vernon Ong berkata, Badan Peguam tidak mempunyai kuasa untuk membincangkan kelakuan peguam dalam AGM kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa lembaga.

Beliau berkata, Thomas dan George, sebagai peguam kanan, harus tahu bahawa sebarang dakwaan salah laku terhadap rakan peguam yang lain harus dirujuk kepada lembaga.

Beliau berkata, Badan Peguam melanggar undang-undang apabila ia menerbitkan usul dua peguam itu di laman webnya.

Beliau berkata, Seksyen 99 LPA amat jelas bahawa sebarang aduan terhadap peguam atau pelatih mesti dirujuk kepada lembaga terlebih dahulu.

Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Shafee dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu.

Shafee mendakwa pada 28 Feb 2015, Thomas telah menerbitkan dan mengemukakan usul untuk perbincangan pada AGM pada 14 Mac 2015. Usul itu disokong oleh George.

Usul itu adalah berkaitan dengan kelakuan Shafee sebagai DPP dalam rayuan kes liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan dengan mendakwa bahawa beliau melanggar peraturan profesion undang-undang yang melarang peguam daripada mempublikasikan diri mereka.

Usul itu juga mendakwa Shafee telah mengambil bahagian dalam jerayawara di seluruh negara dengan tujuan menghina seorang banduan yang disabitkan kesalahan dan untuk memberi perhatian kepada peranannya dalam sabitan kes Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.