Ahli Parlimen Sabah, Sarawak digesa bersatu tuntut satu pertiga kerusi Parlimen

Ahli Parlimen Sabah, Sarawak digesa bersatu tuntut satu pertiga kerusi Parlimen

Ini bagi memastikan kedua-dua wilayah itu mempunyai suara untuk menentang sebarang perundangan atau dasar tidak berfaedah atau merugikan mereka, kata ahli akademik.

Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak kini hanya mrwakili 56 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli akademik menggesa parti di Semenanjung menyokong gesaan bagi memastikan Sabah dan Sarawak mendapat satu pertiga daripada kerusi Parlimen.

Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah Lee Kuok Tiung berkata, kedua-dua wilayah itu berhak mendapat suara yang kuat di Parlimen.

Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak kini mewakili 56 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Ketika pembentukan Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura bersama-sama menyumbang satu pertiga daripada kerusi Dewan Rakyat. Selepas Singapura meninggalkan persekutuan pada 1965, bilangan kerusi untuk Sabah dan Sarawak tidak ditambah, manakala kerusi di Semenanjung terus meningkat.

Jeniri Amir.

Sejak beberapa tahun lalu, timbul gesaan agar keadaan ini diperbetulkan, termasuk daripada badan bukan kerajaan (NGO), Ahli Parlimen dan pemimpin politik seperti bekas Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal.

Jeniri berkata, bagi merealisasikannya, ia memerlukan iltizam politik daripada Putrajaya dan parti politik dominan seperti Umno.

“Putrajaya cuba menangguhkannya dan mungkin kita tidak akan lihat ia menjadi kenyataan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau juga berkata, pakatan rasmi antara parti politik di Sabah dan Sarawak untuk memperjuangkannya tidak mungkin berlaku disebabkan perbezaan ideologi dan budaya politik.

“Namun Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak boleh bersatu dengan objektif yang sama untuk memberi lebih tekanan ke atas Putrajaya bagi mendapatkan lebih banyak kerusi Parlimen,” katanya.

“Menukar wajaran kerusi bagi Malaysia Timur sepatutnya menjadi keutamaan mereka kerana ia akan mempunyai implikasi yang meluas dari segi politik dan dasar.”

Lee Kuok Tiung.

Lee berkata, Ahli Parlimen Semenanjung, dengan lebih dua pertiga kerusi Parlimen, kini mempunyai kuasa ke atas hak Sabah dan Sarawak.

“Permintaan satu pertiga bermakna sekurang-kurangnya Sabah dan Sarawak akan mempunyai suara untuk menentang sebarang perundangan atau dasar yang tidak berfaedah atau merugikan mereka,” katanya.

Beliau bersetuju dengan Jeniri bahawa Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak harus bersatu dalam menyokong tuntutan untuk mendapatkan lebih banyak kerusi.

“Ini adalah atas dasar menghentikan pembulian atau rampasan hak Sabah dan Sarawak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.