Mahkamah Singapura benar tangguh sementara hukuman gantung warga Sabah IQ rendah

Mahkamah Singapura benar tangguh sementara hukuman gantung warga Sabah IQ rendah

Zaid Malek dari Lawyers for Liberty berkata, kos jaminan SGD20,000 perlu disediakan sebelum 1.45 tengah hari.

Pausi Jefridin dari Sabah dan warga Singapura Roslan Bakar dijadualkan dihukum gantung hari ini kerana mengedar dadah. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Singapura membenarkan penangguhan interim pelaksanaan hukuman ke atas Pausi Jefridin, iaitu warga Sabah yang mempunyai IQ rendah, dan warga Singapura Roslan Bakar hari ini, sementara menunggu pemfailan rayuan.

Pausi dan Roslan, yang mempunyai IQ rendah, dijatuhi hukuman mati kerana mengedar dadah pada 2010. Mereka dijadualkan dihukum gantung hari ini.

Zaid Malek daripada Lawyers for Liberty memberitahu FMT, kos jaminan SGD20,000 perlu disediakan sebelum 1.45 tengah hari.

Peguam Pausi dan Roslan memfailkan semakan kehakiman baharu secara segera petang semalam dalam usaha menghentikan pelaksanaan hukuman tersebut, selepas percubaan serupa untuk berbuat demikian pada hari sama ditolak oleh Mahkamah Rayuan Singapura.

Kedua-dua lelaki itu menjadi banduan akhir sejak 12 tahun lepas dan dilaporkan hanya dimaklumkan pada Rabu lepas bahawa mereka akan digantung hari ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa Singapura menghentikan hukuman mati ke atas Pausi dan Roslan, malah memansuhkan hukuman mati sama sekali.

Jurucakap Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB Bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR), Ravina Shamdasani menzahirkan kebimbangan mengenai keadaan kedua-dua tertuduh yang mempunyai kecacatan intelek.

Selain Pausi, seorang lagi rakyat Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam, turut dijatuhi hukuman mati. Dia memfailkan dua permohonan bulan lepas dalam usaha untuk menghentikan hukuman matinya. Mahkamah Rayuan Singapura dijadualkan menyampaikan keputusannya akhir bulan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.