Isu balak: Pahang tuntut Ahli Parlimen DAP pula mohon maaf, ganti rugi RM1 juta

Isu balak: Pahang tuntut Ahli Parlimen DAP pula mohon maaf, ganti rugi RM1 juta

Ahli Parlimen Bentong Wong Tack menyifatkan tuntutan dibuat terhadapnya adalah tindakan dangkal daripada kerajaan negeri.

Antara gambar yang dimuat naik oleh Wong Tack di Facebooknya ketika banjir besar di Pahang pada Disember tahun lalu. (Gambar Wong Tack)
PETALING JAYA:
Pahang menuntut permohonan maaf dan ganti rugi RM1 juta daripada Ahli Parlimen Bentong Wong Tack kerana didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah mengenai aktiviti pembalakan di negeri itu.

Menurut notis tuntutan itu, Ahli Parlimen DAP berkenaan didakwa menyiarkan video dan membuat kenyataan di Facebook pada 28 Dis dan 30 Jan lepas yang apabila dibaca bersama adalah berbentuk fitnah terhadap pihak berkuasa negeri.

Dalam surat tuntutan bertarikh 4 Feb yang dilihat FMT, menyebut kenyataan Wong membawa maksud dengan membayangkan bahawa kerajaan Pahang.

  • Membenarkan pembalakan yang tidak terkawal di kawasan hutan negeri Pahang sehingga menyebabkan banjir yang teruk.
  • Terlibat dan merupakan punca kepada kegiatan pembalakan dan penerokaan secara haram di tanah hutan kerajaan Pahang.
  • Tidak bertanggungjawab dan tidak mengambil peduli tentang kebajikan rakyat di Pahang.
  • Menipu dan menindas rakyat dengan membenarkan pembalakan secara berleluasa di kawasan hutan kerajaan Pahang.

Notis itu juga mendakwa bahawa kenyataannya telah menyebabkan kerajaan negeri dikritik oleh orang awam sehingga menjejaskan reputasinya.

Wong Tack.

“Kenyataan yang telah dikeluarkan menyebabkan anak guam kami ditohmah apabila masyarakat beranggapan bahawa anak guam kami adalah kerajaan yang menipu, tidak berintegriti dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Wong menerusi hantaran di Facebook memberi maklum balas terhadap notis berkenaan dengan menyifatkan ia adalah tindakan dangkal kerajaan negeri.

“Ini adalah tindakan dangkal daripada kerajaan Pahang.

“Sebagai wakil rakyat adalah tanggungjawab saya untuk bersuara demi rakyat. Kalau apa yang saya cakap tak benar, buktikan!,” kata Wong.

Ini berlaku kurang seminggu selepas notis dengan tuntutan sama dihantar kepada aktivis alam sekitar Shariffa Sabrina Syed Akil kerana didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah mengenai aktiviti pembalakan di Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.